Sabtu, 14 Disember 2019 | 2:28pm
Sebahagian kontinjen Malaysia pada Majlis Penutupan Sukan SEA 2019 di Stadium Olahraga New Clark City, Clark. - NSTP/Aizuddin Saad

Sultan Selangor, Raja Muda zahir gembira pencapaian atlet Selangor di Sukan SEA

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, menzahirkan rasa sukacita dan mengucapkan tahniah kepada atlet Selangor serta pegawai yang berjaya meraih pingat di temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan memaklumkan, walaupun temasya sukan itu antara pencapaian terburuk negara, baginda berbangga kerana atlet Selangor menyumbang sebahagian besar pingat emas untuk negara.

“Atlet Selangor menyumbangkan sebahagian besar pingat emas untuk Malaysia dengan berjaya meraih 26 pingat emas, 12 pingat perak dan 17 pingat gangsa.

“Dalam pada itu, Baginda menggesa sebarang masalah dan pertikaian yang berlaku, sama ada membabitkan Majlis Sukan Negeri, Majlis Sukan Negara ataupun persatuan sukan yang terbabit perlu diselesaikan dengan cara yang baik pada kadar yang segera,” katanya.

Mohamad Munir berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga berharap dengan kejayaan pada temasya Sukan SEA ke-30 itu akan terus menjadi inspirasi kepada pegawai dan atlet Selangor serta MSN Selangor untuk terus berusaha gigih bagi mencapai kejayaan pada akan datang demi untuk kemajuan sukan seterusnya mengharumkan nama Selangor dan negara.

Sukan SEA yang melabuhkan tirainya pada malam Rabu lalu, menyaksikan Kontinjen negara gagal melepasi sasaran 70 emas yang ditetapkan apabila meraih 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Pada temasya itu, Filipina muncul juara buat kali kedua selepas edisi 2005 di Manila setelah mengumpul 149 pingat emas, 117 perak dan 119 gangsa.

Berita Harian X