Khamis, 12 Disember 2019 | 11:39am
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail (kanan) bersama Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Nazifuddin Najib, Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia, Nurul Huda Abdullah mengadakan sidang media laporan prestasi kontinjen Malaysia pada Sukan SEA ke-30 2019 Filipina di Pusat Konvensyen ASEAN, Clark City, semalam. - Foto Aizuddin Saad

Kanu, lumba bot tradisional paling mengecewakan

 

CLARK: Sebanyak 13 jenis sukan dikenal pasti belum mampu bersaing di pentas Sukan SEA sejurus temasya itu melabuhkan tirainya di Filipina, semalam.

Perkara itu dirumuskan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam majlis rangkuman prestasi ekoran kegagalan besar kontinjen Malaysia dalam temasya dwitahunan ke-30 itu.

Antara sukan berkenaan adalah kanu dan lumba bot tradisional (TBR), angkat berat, mendayung, polo air, hoki ais, hoki dalam air, bola tampar pantai, penthathlon, surfing, tenis, triathlon, wakeboard dan tenis.

"Angkat berat kita masih jauh daripada prestasi baik di Sukan Komanwel dengan kita masih belum mampu bersaing dengan negara seperti Indonesia.

"Bola tampar pantai juga kita masih belum mampu menandingi Thailand dan wakil tuan rumah Filipina, floorball walaupun meraih dua gangsa tetapi kita masih jauh ketinggalan.

"Hoki ais juga gagal mencapai sasaran satu gangsa, kanu termasuk kayak dan TBR turut gagal," katanya.

Paling mengecewakan kegagalan kanu dan TBR kerana mereka muncul antara kontinjen sukan terbesar kali ini membabitkan keseluruhan 37 atlet dan pegawai.

Shapawi berkata, pihaknya memandang serius kegagalan kontinjen Malaysia dan akan menjalankan bedah siasat bersama semua pemegang taruh utama.

"Kami juga akan mengemukakan laporan penuh kepada Kementerian Belia dan Sukan dan pihak Lembaga Pengurus MSN sebelum memuktamadkan sebarang tindakan.

"Pada masa sama semua sukan di bawah Program Podium akan dinilai semula melalui Jawatankuasa Kerja sukan masing-masing," katanya.

Berita Harian X