Rabu, 11 Disember 2019 | 1:42pm
Kita perlu mengaku bahawa kita sudah gagal kali ini dan saya memohon maaf di atas kegagalan ini, kata Datuk Megat Zulkarnain Omardin. - NSTP/Aizuddin Saad

Sasaran 'melampau', janji manis persatuan antara sebab gagal

CLARK: "Saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia," kata Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin selepas gagal memenuhi sasaran 70 pingat emas sebaik semua acara sukan melabuhkan tirainya pagi tadi di Filipina.

Sebaliknya, kontinjen Malaysia seramai 772 atlet hanya mampu menutup kempen temasya edisi ke-30 dengan meraih 56 pingat emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Jumlah 56 emas itu kurang 14 daripada sasaran awal ditetapkan sekali gus mencalarkan reputasi Malaysia yang pada pada satu ketika adalah jaguh sukan di Asia Tenggara.

"Kita perlu mengaku bahawa kita sudah gagal kali ini dan saya memohon maaf di atas kegagalan ini.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa faktor kegagalan dan saya berpendapat ini adalah Sukan SEA paling mencabar daripada lapan atau sembilan temasya saya pernah pergi.

"Antaranya faktor lokasi cluster pertandingan berbeza yang dipecahkan kepada tiga lokasi - Manila, Clark dan Subic sekali gus menyebabkan berlakunya pertukaran jadual pertandingan yang menjejaskan prestasi atlet.

"Faktor kedua adalah kerana bencana Taufan Kammuri yang mana ia pengalaman baharu bagi atlet selain menyaksikan acara seperti pelayaran ditangguhkan selama tiga hari dan apabila pertandingan dijalankan angin pula tiada hingga kita hilang empat pingat emas," katanya.

Selain itu, Megat turut menggariskan sasaran 'melampau' dan janji manis beberapa Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) juga menjadi antara sebab lain gagal mencapai sasaran berkenaan.

"Ada sukan yang terlalu yakin ketika membentangkan sasaran pingat apabila menjadikan pencapaian pada kejohanan sebelum ini sebagai penanda aras dan akhirnya mereka gagal mencapainya.

"Antara sukan terbabit adalah pelayaran yang menyasarkan lima tetapi pulang tangan kosong, memanah menyasarkan lima tetapi hanya mendapat satu emas selain tenpin boling yang menyasar empat emas tetapi dapat dua," katanya.

Berita Harian X