Rabu, 11 Disember 2019 | 12:01pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sewaktu bersama pemenang pingat emas peseorangan wanita Badminton Sukan SEA Filipina 2019, S Kisona (tengah) di Komplek Sukan Muntilupa, kelmarin. - Foto Osman Adnan

Syed Saddiq selesai jalani pembedahan

 

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baru sahaja selesai menjalani pembedahan apendiks hari ini selepas dikatakan mengalami kesakitan sejak beberapa hari lalu ketika memberi sokongan kepada kontinjen negara pada Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Pejabat Menteri Belia dan Sukan hari ini mengeluarkan kenyataan mengenai keadaan menteri itu yang terus dimasukkan ke hospital setibanya dari Manila malam tadi.

"Alhamdulillah pembedahan tersebut telah berjaya dan beliau kini dalam keadaan stabil.

"Kami memohon agar beliau diberikan ruang untuk berehat dalam tempoh pemulihan ini dan tiada pelawat dibenarkan buat seketika waktu," kata kenyataan itu yang tidak menyatakan berapa lama Syed Saddiq akan berehat.

Difahamkan, Syed Saddiq sudah diberikan ubat ketika berada di Manila namun terus di masukkan ke hospital pada malam tadi setibanya di Kuala Lumpur selepas tidak dapat menahan lagi kesakitan.

Syed Saddiq yang kali pertama membawa kontinjen negara ke temasya Sukan SEA sejak dilantik sebagai menteri, bagaimanapun terpaksa berdepan hakikat kegagalan kontinjen negara memenuhi sasaran 70 pingat emas apabila sekadar menduduki tempat kelima keseluruhan dengan membawa pulang 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

Kegagalan itu adalah antara pencapaian terburuk negara biarpun membawa bilangan atlet kedua teramai dalam aksi temasya di luar negara.

Berita Harian X