Selasa, 10 Disember 2019 | 6:18pm
PEMAIN snuker negara, Moh Keen Hoo beraksi menentang pemain Thailand, Kritsanut Lertsattayathorn dalam acara perseorangan lelaki di Manila. - Foto BERNAMA

Keen Hoo 'snuker' MSN selepas terlepas emas

MANILA: Pemain snuker negara, Moh Keen Hoo harus menyalahkan diri sendiri selepas dia terlepas peluang meraih emas kedua peribadi pada Sukan SEA 2019 menerusi acara perseorangan lelaki, hari ini.

Pada aksi final yang berlangsung di Hotel Tent Manila, Keen Hoo terpaksa akur apabila tewas di tangan pemain Thailand, Kritsanut Lertsattayathorn 2-4.

Sebelum ini, Keen Hoo meraih emas menerusi acara beregu lelaki bersama pasangannya, Lim Kok Leong.

Katanya, dia banyak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dalam perlawanan itu.

“Sepatutnya boleh menang, setiap perlawanan ada peluang untuk saya menang tetapi saya sendiri lepaskan peluang itu.

"Banyak sangat kesilapan mudah saya buat… mungkin saya terlalu mahu sangat emas ini dan saya bagi terlalu banyak tekanan pada diri sendiri. 

"Kalau dalam latihan 100 bola saya boleh masuk semua tapi kali ini saya tidak tahu kenapa banyak sangat silap," katanya.

Dalam pada itu, Keen Hoo meluahkan kekecewaan terhadap Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Sukan Negara (MSN) yang seolah-olah tidak serius membantu membangunkan sukan itu.

Situasi itu membuatkan dia membawa diri ke China bagi mengembangkan kerjayanya.

Katanya, dia sendiri dipujuk oleh Persekutuan Snuker dan Billiard untuk beraksi di temasya Sukan SEA Filipina kali ini.

"Saya sudah duduk sana (China) sejak bulan lalu. Tapi persatuan ada hubungi dan pujuk saya, mereka beritahu Malaysia tiada wakil. Jadi saya balik dan main untuk Malaysia.

"Namun, kalau mahu harapkan sesuatu daripada MSN, tidak payahlah… apa boleh harap dari mereka. Mahu berjaya kena keluar (beraksi di luar negara), macam itu juga sukan-sukan lain,” katanya.

Berita Harian X