Ahad, 8 Disember 2019 | 9:16pm
LEE Hup Wei meraih pingat emas dalam acara lompat tinggi lelaki sempena Sukan SEA ke-30 Filipina 2019 di Stadium New Clark City, Clark. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

Hup Wei akhirnya menang emas lompat tinggi

CLARK: Selepas lapan tahun, jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei akhirnya kembali merasai nikmat sebagai pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 selepas mengungguli acara itu dengan catatan ketinggian 2.21 meter (m).

Lebih mengujakan, dia berjaya menewaskan rakan senegara, Nauraj Singh Randhawa menerusi kiraan semula selepas kedua-dua atlet tinggi lampai itu mencatat ketinggian sama.

Ia secara tak langsung berjaya menebus dukanya pada edisi 2017 Kuala Lumpur selepas dinafikan pingat emas juga menerusi kiraan semula selepas keputusan terikat sama.

Kali terakhir atlet berusia 32 tahun itu memenangi pingat emas adalah pada edisi 2011 di Jakarta sebelum terpaksa menarik diri daripada dua temasya seterusnya kerana masalah kecederaan.

Seorang lagi atlet negara, Ziyad Zolkefli membuktikan faktor kekurangan bukan halangan buat dirinya untuk menandingi atlet normal apabila meraih pingat perak.

Sementara itu, malang terus menimpa kem tukul besi negara apabila kali ini tiba giliran Grace Wong pula gagal mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu.

Ini selepas atlet berusia 18 tahun itu sekadar mencatat lontaran sejauh 55.82 meter (m) untuk berpuas hati dengan pingat perak.

Semalam, kem olahraga negara yang menetapkan sasaran enam pingat emas bagi edisi ke-30 ini turut kehilangan pingat itu susulan kegagalan Jackie Wong memenuhi jangkaan tinggi terhadapnya.

Atlet Baling Tukul Negara Jakie Wong Siew Cheer ketika beraksi dalam perlawanan 'Hammer Trow Men' sempena Sukan Sea Filipina 2019 di Athletics Stadium , New Clark City. - Foto BERNAMA

Berita Harian X