Selasa, 19 November 2019 | 11:23pm
Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) Negeri Johor, Bahagian Retail, Tenaga Nasional Berhad, Datuk Baderul Sham Saad (kanan) menyerahkan mock cek kepada Ahli EXCO Johor Golf Tourism Association, Mohd Shah Rahmat mewakili SAM Media Corporate Charity Golf sambil diperhatikan Albert Teo di Pejabat TNB Johor. - Foto Zain Ahmed

TNB taja Golf Amal SAM

JOHOR BAHRU: Tenaga Nasional Behad (TNB) menyumbangkan RM10,000 bagi memeriahkan Pertandingan Golf Kebajikan Media anjuran Persatuan Pelancongan Golf Johor dan hasil kutipan akan disalurkan kepada Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Forest City Golf Resort pada 24 November ini.

Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Johor, Datuk Baderul Sham Saad berkata, tajaan itu sebagai sokongan mereka kepada penganjur bagi memeriahkan kejohanan sehari itu.

Katanya, selain memberikan tajaan berbentuk wang tunai pihaknya akan menghantar wakil pada pertandingan itu untuk bersaing dengan pemain golf tempatan dan luar negara.

"Walaupun ia sekadar pertandingan amal, kami berharap pasukan kami dapat memberikan cabaran bermakna dalam pertandingan itu kelak.

"Selain itu, kami akan membuka kaunter di Forest City Golf Resort untuk mempromosikan aplikasi myTNB kepada semua pelanggan kami.

"Menerusi aplikasi ini, pelanggan bukan sahaja boleh membayar bil sepanjang 24 jam malah tahu penggunaan dan bil tertunggak pada alamat tertentu (rumah yang disewakan) bagi mengelak gangguan bekalan," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan cek di pejabatnya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pelancongan Golf Johor, Mohd Shah Rahmat berkata, walaupun pertandingan golf amal dianjurkan setiap tahun sejak 2016 namun ia adalah kali pertama diadakan di Johor dan akan disalurkan kepada SAM.

Katanya, pemilihan Forest City Golf Resort disebabkan padang golf bertaraf dunia untuk memberi kepuasan kepada semua pemain yang mengambil bahagian.

"Sehingga kini, seramai 80 peserta sudah mengesahkan penyertaan terutama pemain tempatan dan Singapura dan kami menjangkakan lebih ramai pemain tempatan serta luar negara akan mengambil bahagian.

"Pelbagai hadiah menarik disediakan termasuk pasukan terbaik dan beberapa kategori lain," katanya.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu pihaknya berjaya menarik lebih 30,000 pelancong ke Johor menerusi golf membabitkan pelancong dari Korea Selatan, Jepun, China, Indonesia dan Singapura yang gemar bermain di padang golf di Johor.

Katanya, selain Forest City Golf Resort, tumpuan pelancong termasuklah ELS Golf Club Desaru, Tanjung Puteri Golf Resort dan Horizon Hills Golf And Country Club.

Berita Harian X