Rabu, 13 November 2019 | 6:48am
Datuk Karim Ibrahim. - Foto Aswadi Alias

Laporan Khas: Khidmat peringkat antarabangsa lebih lumayan

KUALA LUMPUR: Bukan sekadar manfaat dalam negara, pemimpin persatuan sukan kebangsaan (NSA) turut mempunyai manfaat yang lebih besar apabila dilantik menduduki badan sukan antarabangsa.

Dikenali sebagai individu yang berani bersuara, Datuk Karim Ibrahim yang sudah 20 tahun berperanan aktif dalam badan sukan olahraga di negara ini berkata, berbanding jawatan yang dipegangnya dalam negara, beliau yang pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) memperoleh elaun yang tinggi serta mendapat banyak keistimewaan lain.

“Semua NSA tidak sama tetapi jika bercakap mengenai badan olahraga di negara ini, tiada manfaat yang diperoleh pemimpin biarpun ada memperoleh penajaan tinggi dari luar.

“Bagi saya manfaat lebih banyak diperoleh apabila pemimpin mempunyai peluang dilantik ke badan dunia dan seperti saya dahulu dilantik sebagai Ahli Majlis IAAF, saya memperoleh elaun bulanan sehingga AS$4,000 sebulan dan jika ditukar boleh mencecah hingga RM20,000 bergantung kepada pertukaran wang ketika itu.

“Selain itu banyak lagi kelebihan lain seperti tiket penerbangan kelas perniagaan untuk menghadiri pelbagai kejohanan dunia,” katanya kepada BH Sukan susulan Laporan Khas semalam yang mendedahkan perebutan jawatan dalam NSA berkait rapat dengan manfaat yang bakal diperoleh individu terbabit.

Karim sebelum ini memegang jawatan Ahli Majlis IAAF apabila dilantik pada Oktober 2015 namun beliau digugurkan daripada jawatan itu pada Ogos 2018.

“Saya menjadi individu pertama di negara ini yang dilantik ke IAAF sejak KOM ditubuhkan, jadi ramailah yang dengki dengan pelantikan ini.

“Saya yakin antara sebab saya digugurkan disebabkan ada individu di dalam persatuan sendiri yang tidak berpuas hati dengan keistimewaan yang saya peroleh hingga dia membuat laporan mengenai saya kepada IAAF,” katanya.

Karim yang kini masih aktif sebagai Presiden Persatuan Olahraga Perak dan Ahli Majlis KOM hingga ke hari ini, pernah memegang pelbagai jawatan dalam KOM dengan pernah memegang jawatan sebagai Presiden sejak 2014 dan berakhir selepas dua penggal pada 30 Jun lalu.

“Manfaat memegang jawatan Presiden KOM tidak banyak dan ada kalanya saya yang perlu keluarkan duit sendiri, namun saya bertahan kerana minat mendalam untuk bangunkan sukan olahraga di dalam negara ini berbanding manfaat di badan dunia.

“Ketika Sukan Olimpik Rio 2016, saya sebagai Ahli Majlis IAAF dipanggil bertugas dan saya memperoleh banyak insentif seperti elaun AS$500 (RM2,075) sehari, itu belum termasuk kelas perniagaan bagi tiket penerbangan, tempat tinggal dan lain-lain,” katanya.

Karim bagaimanapun berkata, tidak dinafikan lagi pemimpin persatuan di negara ini memperoleh publisiti meluas selain mempunyai peluang ke luar negara.

“Jadi presiden NSA mungkin sedikit ‘glamor’ tetapi ada juga yang gila berjalan ke luar negara dan memang mereka ini mahu sangat memegang jawatan semata-mata untuk pergi ke luar negara secara percuma.

“Saya tak harapkan duit kerajaan jika ke luar negara, kebanyakannya perbelanjaan sendiri dan sebab itu saya tak pernah memegang jawatan pengurus sukan temasya seperti Sukan SEA atau Sukan Asia yang mana semua perbelanjaan ditanggung,” katanya.

Karim turut bersetuju dengan cadangan ‘orang lama’ sukan, Datuk Sieh Kok Chi yang mana setiap calon yang hendak memegang jawatan dalam persatuan sukan perlulah mempunyai latar belakang bermula dari peringkat awal termasuklah menjadi atlet.

“Sesiapa yang mahu terajui jawatan di dalam negara apa lagi mahu dipilih ke persatuan di peringkat dunia, mereka ini perlulah mempunyai latar belakang yang kuat termasuklah bermula sebagai atlet dahulu kerana hanya mereka ini yang memahami keperluan dan cara membangunkan sukan terbabit,” katanya yang pernah bergelar juara pecut Pulau Pinang pada era 70-an.

Berita Harian X