Selasa, 12 November 2019 | 8:52pm
Jurulatih renang negara, Christopher Martin (dua dari kiri) menjawab soalan media. Turut bersama Pengurus Pasukan renang Marllyn Lammert Liee Yien Yee (dua dari kanan), Keith Lim (kiri) danTiaa Faang Der (kanan) pada sidang media Team MALAYSIA ke Sukan SEA 2019. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Skuad renang tak dapat uji awal venue Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Skuad renang menghadapi dugaan awal menjelang Sukan SEA Filipina apabila tidak dapat menguji venue pertandingan sekali gus mengurangkan masa latihan perenang kebangsaan dalam temasya dwitahunan berkenaan.

Pengurus pasukan, Marllyn Lammert berkata, kolam di Pusat Akuatik New Clark City hanya boleh diuji dua hari sebelum kejohanan bermula, namun masa yang boleh digunakan agak terhad.

“Kita hanya boleh menguji kolam dua hari sebelum acara renang iaitu 4 Disember. Masalahnya tempoh masa ditawarkan terhad. Ini adalah satu kekurangan buat kita. Jadi kita akan membawa peralatan sendiri dan menjalani latihan pada 1 Disember,” katanya pada sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Selain masalah ujian venue, Lammert berkata, skuad negara juga dijangka berdepan faktor kepenatan kerana tiada penerbangan terus ke Clark. Untuk itu, mereka perlu berlepas ke Manila terlebih dulu sebelum meneruskan perjalanan ke Clark.

Sementara itu, jurulatih negara, Chris Martin optimis skuad kebangsaan mampu memenangi tiga emas sekali gus menyamai pencapaian direkodkan di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017)

“Daripada pandangan saya, kita komited untuk mempertahankan keputusan (KL2017). Kami akan buat yang terbaik dengan apa yang ada, malah atlet juga menjalani latihan dengan bersungguh-sungguh,” katanya yang memulakan tugas di negara ini secara rasmi pada April lalu.

Skuad renang negara mempertaruhkan 15 atlet ke temasya di Filipina nanti dan dijangka mendapat saingan sengit daripada Vietnam dan Singapura.

Turut menggalas cabaran nanti adalah, Welson Sim yang memenangi dua emas di temasya KL2017 lalu. Dia yang kini menjalani latihan di Melbourne, Australia dijadual bertemu skuad kebangsaan di Filipina nanti.

Untuk rekod, pada aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, pada 2017, Malaysia meraih tiga emas di kolam renang menerusi Welson (200 dan 400 meter gaya bebas lelaki) serta Phee Jinq En (100 meter kuak dada wanita).

Berita Harian X