Selasa, 12 November 2019 | 5:47pm
Aqil Afiq tersenyum bersama trofi kejuaraan golf amatur Terbuka Negeri Sembilan 2019 selepas menewaskan Amir Benno di Kelab Golf Diraja Seri Menanti.

Aqil Afiq juara golf amatur Terbuka NS ke-36

KUALA LUMPUR: Pemain Akademi Golf Nasional (AGN), Aqil Afiq Rosli menamatkan kemarau kejuaraan buat akademi itu untuk musim ini selepas memastikan kemenangan pada Kejohanan Golf Amatur Terbuka Negeri Sembilan edisi ke-36 di Kelab Golf Di Raja Seri Menanti, Seri Menanti, semalam.

Lebih manis, kejayaan yang terpaksa ditentukan pada aksi kalah mati itu turut menyaksikan pemain berkenaan mengetepikan wakil Kelab Golf Di Raja Seri Menanti yang juga tuan rumah kejohanan, Amir Benno.

Aqil Afiq menamatkan hari terakhir dengan 77 pukulan, satu pukulan mengatasi Amir yang mencatat 78 pukulan hingga menyaksikan kedua-duanya berkongsi kedudukan, merekodkan 226 pukulan secara keseluruhan.

Bagaimanapun, beliau menguasai aksi penentuan kalah mati untuk dinobatkan selaku juara manakala Amir berpuas hati selaku naib juara dan pemain Persatuan Golf Malaysia (MGA), Nor Harith Nor Hadi, di tempat ketiga.

Kejayaan Aqil Afiq itu menyaksikan AGN mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu menerusi menerusi Mohd Shakiran Johari.

Berita Harian X