Selasa, 12 November 2019 | 7:12am
DATUK Sieh Kok Chi. - Foto Osman Adnan

Laporan Khas: Melompat kejar jawatan demi ganjaran

KUALA LUMPUR: Kisah perebutan jawatan peringkat tertinggi setiap kali berlangsungnya pemilihan persatuan sukan kebangsaan (NSA) sering menjadi tumpuan dan kadang kala ia mengalahkan pertandingan merebut jawatan dalam parti politik.

Namun, ramai yang tidak tahu apakah manfaat yang diperoleh mereka jika terpilih memegang jawatan nombor satu serta jawatan lain dalam NSA.

Malah, kerana manfaat yang diperoleh tidak ramai pemimpin NSA sanggup meletakkan jawatan sekiranya mereka gagal dalam membangunkan dan memajukan sukan berkenaan, sebaliknya sanggup melakukan apa sahaja untuk terus berpaut dengan jawatan itu.

Ini termasuk sanggup tebal muka dan memungkiri janji yang dilafazkan apabila membuat pusingan U sedangkan sebelum itu berjanji meletakkan jawatan sekiranya gagal dalam mencapai misi yang diri sendiri tetapkan.

‘Orang lama’ sukan tanah air, Datuk Sieh Kok Chi yang sudah masak dengan selok belok sukan di negara ini mendedahkan manfaat yang diperoleh pemimpin adalah berbeza-beza mengikut struktur NSA itu sendiri.

Namun, katanya, secara umumnya individu terbabit akan memperoleh pelbagai manfaat termasuk ada yang memperoleh gaji atau elaun sehingga RM50,000 sebulan serta tiket penerbangan kelas pertama.

“Sebenarnya tak banyak presiden yang memperoleh gaji dalam NSA di negara ini.

“Itu semua bergantung kepada struktur organisasi persatuan sendiri tetapi selalunya setiausaha atau yang mempunyai jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) atau Pengurus Besar akan memperoleh gaji tetap.

“Berbeza di era 70-an dulu kebanyakan pentadbir sukan adalah sukarelawan dan ketika itu NSA tidak memperoleh peruntukan daripada kerajaan dan semua ini berubah selepas Majlis Sukan Negara (MSN) ditubuhkan pada 80-an di mana peruntukan diperoleh bagi mereka yang bekerja sepenuh masa bersama persatuan dan peruntukan buat persatuan semakin banyak apabila kita anjurkan Sukan Komanwel 1998,” katanya yang berpengalaman 25 tahun sebagai Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Kok Chi yang sebelum ini pernah bergelar pemain polo air negara berkata, beliau tidak memperoleh gaji selama memegang jawatan Setiausaha Agung MOM, sebaliknya bergantung sepenuhnya dengan pencen sebagai jurutera di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Ini adalah apa yang berlaku di zaman saya dahulu, kami sukarelawan membantu untuk meningkatkan sukan masing-masing.

“Kami mempunyai gaji kami sendiri berbanding sekarang ada CEO NSA yang memperoleh gaji sehingga RM30,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, tidak banyak keistimewaan yang diperoleh presiden NSA di negara ini, namunmasihada presiden sukandi peringkat kebangsaan atau negeri yang memegang jawatan sama selama 20 tahun hingga kini.

“Saya pun tidak tahu apakah motif mereka memegang jawatan begitu lama kerana mereka ini sudah mempunyai jawatan dan pengaruh politik, tetapi saya faham ada sesetengah mereka ini sama ada terlalu minat kepada sukan itu atau pun digunakan sebagai ‘boneka’ kepada ahli jawatankuasa yang lain,” katanya.

Beliau berkata, ‘keikhlasan’ seseorang calon yang ingin bertanding jawatan presiden sebenarnya perlu dinilai menerusi latar belakang individu itu sendiri kerana banyak kes berlaku membabitkan calon itu diletakkan sebagai ‘boneka’ untuk kepentingan ahli jawatankuasa yang lain.

“Kita kena lihat latar belakang calon itu sendiri, bukan seperti sekarang ada yang tiba-tiba namanya muncul bertanding seolah-olah mendapat ‘wahyu daripada Tuhan’ untuk bertanding.

“Jika individu itu sudah bermula lama seperti menjadi sukarelawan dahulu, atlet atau aktif dalam kelab, mungkin kita boleh lihat visi danmisi calon itu.

“Ini tidak pernah terbabit dalam sukan itu, tiba-tiba melompat terus diletakkan sebagai calon presiden,” katanya.

Mengenai pemimpin yang terlalu lama memegang jawatan pula, Kok Chi berkata sistem pentadbiran di negara ini sepatutnya diubah dengan presiden atau setiausaha tidak boleh memegang jawatan lebih daripada lapan tahun bagi memastikan setiap sukan dibangunkan dengan baik.

“Presiden atau setiausaha pula sebenarnya tidak boleh memegang jawatan lebih daripada dua atau tiga jawatan sekali gus.

“Ada individu di negara kita ini memegang jawatan sehingga 12 jawatan dalam dan luar negara, jadi bagaimana anda boleh beri tumpuan pada sesuatu kerja dan yang merana akhirnya persatuan itu sendiri,” katanya.

Berita Harian X