Isnin, 11 November 2019 | 10:21pm
Joohyung Kim dari Korea Selatan. - Foto Laguna Golf Phuket

Joohyung Kim pencabar utama golf Sabah Masters

KUALA LUMPUR: Pendahulu Jelajah Pembangunan Asia (ADT), Joohyung Kim dari Korea Selatan, adalah antara pemain yang akan beraksi pada Kejohanan Golf Masters Sabah 2019 di Sutera Harbour Golf and Country Club di Kota Kinabalu, pada minggu depan.

Dia akan disertai Sadom Kaewkanjana dari Thailand dan Yikeun Chang dari Korea Selatan yang masing-masing menyerlah pada Golf Terbuka Piala Bangabandhu di Bangladesh pada April dan Kejohanan Yeangder Tournament Players di Taiwan pada September.

Pesuruhjaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Tour, Cho Minn Thant dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Tourism Malaysia dan Sutera Harbour atas sokongan mereka kepada acara ini, yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 November ini.

“Kami berharap capaian kami pada dunia, akan meningkatkan lagi sektor pelancongan Sabah dan melalui kejohanan ini, ia akan dapat memaparkan apa yang terbaik yang dapat ditawarkan kepada pemain golf,” katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, Pengurus Besar Sutera Harour and Country Club, Rick Blackie yang menyatakan kegembiraannya dengan ketibaan ramai pemain terbaik rantau ini, dalam kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan AS$300,000 (RM1.243 juta).

Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau juga yakin kejohanan itu akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Malaysia secara am dan Sabah secara spesifik.

“Kami berharap dapat memperlihatkan keunikan, tarikan dan kebudayaan di Sabah dan sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik,” katanya.

Pemain golf kebangsaan yang berasal dari Sabah, Ben Leong, akan mengetuai cabaran pemain tempatan pada kejohanan ini yang termasuk dalam kalendar Asian Tour buat pertama kalinya musim ini.

Untuk rekod, Namchok Tantipokhakul dari Thailand menang gelaran Sabah Masters yang kali terakhir diadakan pada 2016 di tempat yang sama di bawah kalendar ASEAN PGA Tour.

-- BERNAMA

Berita Harian X