Isnin, 11 November 2019 | 8:17pm
Timbalan Presiden Persatuan Hoki Johor, Datuk Manjit Majid Abdullah. - Foto Aswadi Alias

Majid harap AGM MHC ditangguhkan

 

KUALA LUMPUR: Selepas sekali lagi mengesahkan penarikan dirinya, Datuk Majid Manjit Abdullah mengakui masih berharap Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) pada Sabtu ini ditangguhkan.

Beliau mengesahkan penarikan dirinya daripada mempertahankan jawatan naib presiden hari ini selepas didakwa membuat 'Pusingan U' gara-gara gagal menyerahkan borang berkenaan kepada MHC sebelum 8 November lalu.

Katanya, beliau serta kemnya yang lain sudah menghantar surat penarikan diri kelmarin dan semalam, selari dengan pendirian ketika sidang media minggu lalu. 

"Sepertimana yang kami umumkan pada sidang media sebelum ini, begitulah juga pendirian kami sekarang. Semua yang terbabit sudah menghantar surat penarikan diri daripada bertanding," katanya.

Keputusan Manjit itu berpunca daripada kegagalan Datuk Kamarudin Meranun bertanding sebagai Presiden MHC.

Ini selepas Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad itu hanya memperoleh dua daripada tiga pencalonan disyaratkan oleh perlembagaan badan induk berkenaan.

Selain Majid, mereka yang terbabit adalah calon timbalan presiden (wanita), K Maheswari serta tiga calon naib presiden, Datuk Ow Soon Kooi, Datuk Che Khalib Mohamad Noh dan Lum Sau Foong. 

Pasukan Majid juga mencalonkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah sebagai calon timbalan presiden yang kemudian sudah mengesahkan menarik diri. 

"Banyak perkara yang dilihat tidak betul berlaku. Kami masih berharap AGM ditangguhkan dan satu jawatankuasa bebas dibentuk untuk kendalikan proses pemilihan ini," katanya.

 

 

Berita Harian X