Jumaat, 8 November 2019 | 9:51pm
Satish (tengah) bersama Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal (kiri) dan Timbalan Presiden MHC, Datuk Dr S Shamala.

Satish tarik diri, kemelut AGM MHC tambah buruk

KUALA LUMPUR: Kemelut pemilihan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) berterusan apabila satu demi satu calon menarik diri.

Terbaru Timbalan Presiden Persatuan Hoki Kedah (KHA), Satish Kumar yang juga Naib Presiden MHC mengesahkan penarikan dirinya daripada bertanding jawatan itu hari ini.

Dia berbuat demikian selepas hilang kepercayaan terhadap integriti dan kegagalan proses pencalonan AGM badan induk hoki negara itu pada 16 November ini.

"Saya sudah menyerahkan borang penarikan diri kepada MHC menerusi emel dan pengurus besarnya Norfaraha Hashim sudah mengesahkan penerimaan borang terbabit.

"Saya fikir proses pemilihan kali ini berjalan dengan tidak adil, ditambah pula dengan isu dan kontroversi yang terpalit... Saya memilih menarik diri.

"Kita tidak tahu apa lagi yang akan berlaku selepas ini, jadi lebih baik saya menarik diri," katanya yang juga bekas pemain negara era tahun 1990-an di bawah kendalian Terry Walsh ketika itu.

Keputusannya itu dilihat sebagai mengikuti jejak langkah rakannya di 'kem Johor' yang mengumumkan penarikan diri dua hari lalu.

Kontroversi ini bermula selepas Datuk Kamarudin Meranun tidak layak  bertanding jawatan presiden selepas 'bos' Air Asia itu tidak mendapat pencalonan yang cukup gara-gara borang penamaan yang dihantar oleh KHA ditukar nama calon pada saat akhir oleh 'tangan ghaib'.

Berita Harian X