Rabu, 16 Oktober 2019 | 5:12pm
JURULATIH judo negara, Marjan Abdullah (tengah) bersama atlet judo negara, Tan Woon Kiat (dua dari kanan), Muhammad Ruzaini Abdul Razak (kanan), Tan Kei Yi (kiri) dan Siti Nur Aisyah Che Adzmi sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini. - Foto Aizuddin Saad

Judo sasar emas nage-no kata di Filipina

KUALA LUMPUR: Satu emas menerusi acara nage-no kata menjadi sasaran utama skuad judo negara pada temasya Sukan SEA Filipina yang bermula 30 November ini.

Keyakinan itu dinyatakan sendiri oleh jurulatih judo negara, Marjan Abdullah dalam sidang media Team Malaysia di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, bagi atlet nage-no kata, Tan Woon Kiat, dia dan rakan gandingannya, Ong Kun Xiong lebih selesa untuk menetapkan sasaran bagi memenangi pingat tanpa mengira sebarang warna.

"Saya berharap untuk memenangi pingat dalam penampilan sulung di Sukan SEA," katanya sambil melabelkan Vietnam sebagai pencabar terkuat di Filipina nanti.

Nage-no kata adalah acara dimainkan oleh dua individu dengan mereka perlu menampilkan persembahan bersama selain kemampuan varisasi teknik yang dimiliki.

Untuk temasya Filipina 2019 menyaksikan Malaysia buat pertama kali menghantar wakil lelaki dan wanita mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Bagi nage-no wanita, Malaysia bakal diwakili oleh gandingan Tan Kei Yi-Siti Nur Aishah.

Sebagai rekod, Woon Kiat-Kun Xiong meraih pingat gangsa pada Kejohanan Tempur Asia Tenggara di Bangkok, awal tahun ini manakala Kei Yi-Nur Aishah membawa pulang pingat perak.

Berita Harian X