Khamis, 10 Oktober 2019 | 9:53pm
NURUL Afiqah Muhamad Zamzuri tekad hadir kilauan pingat pada pentas Sukan SEA di Filipina bulan depan. NSTP/Ihsan Afiqah.

Nurul Afiqah buka buku baharu

KUALA TERENGGANU: Atlet angkat berat wanita berbakat Terengganu, Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri mahu melupakan tragedi hitam digantung lapan bulan kerana didapati bersalah mengambil bahan terlarang tahun lalu.

Sebaliknya atlet berusia 19 tahun kelahiran Teluk Ketapang, Kuala Nerus itu tekad mahu membuktikan pemilihannya mewakili negara dalam pentas Sukan SEA di Manila, Filipina pada November depan adalah pelaburan berbaloi.

Malah atlet bertubuh kecil itu yang bakal beraksi dalam kategori 45 kilogram (kg) turut bertekad untuk menghadiahkan kilauan pingat buat kontinjen negara biarpun pernah dipalit dengan insiden penggantungan berkenaan.

“Apa yang terjadi sebelum ini iaitu digantung selama lapan bulan diharap tidak akan berulang lagi selepas ini, lagipun saya sudah melupakan insiden malang itu,” kata Nurul Afiqah.  

“Sasaran utama saya pada pentas Sukan SEA nanti adalah untuk memecah rekod kebangsaan milik Fendylina Adim dari Sabah selain mengintai peluang untuk membawa pulang pingat buat negara tanpa mengira warna.

“Apa yang diharapkan penyertaan kali pertama dalam pentas Sukan SEA nanti tidak mengecewakan saya dan kontinjen negara selain menjadi landasan terbaik untuk meningkatkan lagi prestasi di peringkat yang lebih tinggi.”

Pada pentas Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 di Perak September tahun lalu, Nurul Afiqah yang beraksi dalam kategori 48kg berjaya mengutip satu pingat emas dalam acara `clean and jerk’ dengan angkatan 81kg manakala satu gangsa dalam acara snatch dengan angkatan 62kg.

Bagaimanapun pingat emas dan gangsa yang diraih atlet itu tidak kekal lama apabila ditarik balik pihak penganjur kerana didapati bersalah mengambil bahan terlarang jenis methylexanamine sebelum digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM)

“Memang saya begitu terkilan kerana pingat berkenaan ditarik balik, lagipun saya tidak mempunyai niat untuk mengambil bahan terlarang itu. Ini adalah pengajaran kepada saya supaya lebih berhati-hati mengambil makanan tambahan,” katanya yang mendapat tunjuk ajar daripada jurulatih, Mohd Azmer A Rahman sejak berumur 14 tahun lagi.

Berita Harian X