Khamis, 10 Oktober 2019 | 7:08pm
DWAYNE Miller dari Amerika Syarikat (AS) (kiri) akhirnya dilantik sebagai pengarah teknikal baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM). - Foto BERNAMA

KOM lantik Miller pengarah teknikal

 

KUALA LUMPUR: Dwayne Miller dari Amerika Syarikat (AS) akhirnya dilantik sebagai pengarah teknikal baharu Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan akan berkhidmat bersama skuad olahraga negara selama tiga tahun.

Presiden KOM, Datuk SM Muthu menjelaskan pengalaman luas dimiliki Miller diyakini dapat membantu pembangunan olahraga negara pada masa akan datang.

“Miller memiliki pengalaman luas dan pemilihannya tidak akan mengecewakan mana-mana pihak termasuklah jurulatih, jadi kita harap dia dapat membantu pasukan olahraga negara.

“Disebabkan dia (Miller) baru tiba, jadi kita perlu berbincang akan skop tugasnya. Dia diberi tempoh percubaan selama enam bulan dan saya harap dapat membantu termasuklah persiapan ke Sukan SEA,” kata Muthu pada sidang media di bilik mesyuarat KOM, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden KOM, Datuk Paduka Mumtaz Jaafar.

Muthu dalam masa sama menjelaskan, sehingga Sukan SEA 2019, tiada perubahan akan dilakukan dalam senarai kejurulatihan kebangsaan termasuklah kedudukan Mohd Manshahar Abd Jalil selaku ketua jurulatih kebangsaan.

Sementara itu, Miller menegaskan buat masa ini dia dalam fasa mengenali atlet, membantu memberikan nasihat namun mengakui tidak akan campur tangan akan latihan mereka ke Sukan SEA Filipina pada November ini.

“Saya perlu kenal atlet dulu dan bila kenal barulah mudah untuk saya. Tapi berdasarkan pemerhatian saya, Malaysia memiliki banyak bakat. Pagi tadi, saya sempat bertemu dan bercakap bersama atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail.

“Saya tak pernah berada di Malaysia sebelum ini dan saya teruja melihat bakat yang ada,” kata Miller.

Sebelum ini media melaporkan KOM masih menanti kelulusan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mendapatkan khidmat jurulatih pecut dari Amerika Syarikat, Dwayne Miller dalam mempersiapkan kontinjen menjelang Sukan SEA 2019 di Filipina.

Kepakaran Miller ditagih dalam usaha meningkatkan prestasi sedia ada atlet kebangsaan terutama dalam acara pecut, lompat jauh dan lompat kijang.

Untuk rekod, Miller pernah membantu pelari pecut Amerika Syarikat, LaShawn Merritt merangkul dua emas pada Sukan Olimpik 2008 di Beijing dalam acara 400m dan 4x100m dengan mencatat rekod Olimpik.

Miller juga pernah meraih anugerah 'Nike Coach of the Year' dari badan induk olahraga Amerika Syarikat, USA Track and Field pada 2008.

Berita Harian X