Selasa, 8 Oktober 2019 | 9:41pm
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (tengah) mendengar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasana Rakyat Johor (KPRJ), Datuk Mohd Noorazam Osman (kiri) mengenai peta venue SUKMA Johor 2020, di Sportcity Taman Mount Austin. - Foto Mohd Azren Jamaludin

MB gembira projek venue SUKMA Johor 2020 lancar

JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berpuas hati dengan tahap kemajuan pelaksanaan projek pembangunan venue Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal berlangsung di negeri ini pada tahun depan.

Beliau yang melawat beberapa venue hari ini, mendapati tiada projek terlewat daripada jadual kerja, sekali gus memungkinkan ia boleh disiap seawal Februari atau April tahun depan.

“Setakat ini, saya sangat berpuas hati. Maknanya tiada projek terlambat malah ada lebih cepat (siap),” katanya kepada pemberita selepas melawat Sportcity Mount Austin, salah satu venue SUKMA 2020, di sini hari ini.

Dr Sahruddin berkata Sportcity Mount Austin yang menempatkan stadium olahraga dan ragbi serta sebuah pusat menembak sebagai contoh telah mencatat kemajuan kerja sehingga 95 peratus.

Dua lagi venue iaitu Youth Hub di Iskandar Puteri dan Arena Emas di Taman Impian Emas, pula masing-masing mencatat kemajuan projek pembangunan sebanyak 46 peratus.


Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal ketika mengadakan lawatan rasmi ke lokasi Sukma XX di Kompleks Sukan Johor@ Stadium Olahraga di Taman Mount Austin hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Sdn Bhd Datuk Mohd Noorazam Osman (kiri) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani (dua, kanan). - Foto BERNAMA

Youth Hub Iskandar menempatkan trek velodrom dan BMX manakala Arena Emas pula mempunyai gelanggang memanah, arena boling padang, arena petanque dan pusat skuasy.

“Kita sudah melawat semuanya dan kerja-kerja berjalan dengan baik serta mengikut jadual.

Kita harap tidak ada lagi isu berbangkit,” katanya.

SUKMA 2020 akan berlangsung dari 11 hingga 19 Julai tahun hadapan.

-- BERNAMA

Berita Harian X