Jumaat, 4 Oktober 2019 | 7:53pm
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan Dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew (dua, kiri) selepas sidang media hari ini berkenaan The World Amateur Golfers Championshop (WAGC) yang akan bermula 19 hingga 26 Oktober ini. - Foto BERNAMA

WAGC 2019 tarik 400 pemain amatur dunia

KOTA KINABALU: Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) 2019 yang bakal berlangsung di Sabah bermula 19 hingga 26 Oktober ini dianggap medan untuk turut mempromosikan Negeri Bawah Bayu itu sebagai destinasi pelancongan.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata kementeriannya giat mempromosikan destinasi pelancongan di Sabah dan mengakui betapa pentingnya penganjuran kejohanan seperti WAGC bagi menarik pelancong dan pelabur ke negeri berkenaan.

"Kami menyeru semua rakyat Sabah untuk mengalu-alukan negara yang berrtanding pada saingan WAGC. Menjadi tuan rumah kepada kejohanan bertaraf dunia ini turut mendapat sokongan seluruh negara.

"Kejohanan besar seperti itu dapat dijayakan menerusi penajaan daripada pihak penaja terutamanya PERODUA dan sokongan daripada Sabah Tourism Board dan Tourism Malaysia," katanya.

WAGC yang muncul sebagai kejohanan amatur terbesar dunia dengan penyertaan lebih 400 pemain daripada 40 negara akan diadakan di empat lapangan iaitu Sabah Golf & Country Club, Sutera Harbour Marina Golf & Country Club, Nexus Golf Resort Karambunai serta Dalit Bay Golf & Country Club.

Kejuaraan dunia itu dianjurkan oleh Delta Trend Golf & Leisure Holiday yang turut berjaya menganjurkannya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 2018.

PERODUA adalah penaja utama kejuaraan WAGC untuk tempoh lapan tahun berturut-turut termasuk edisi tahun ini.

Berita Harian X