Selasa, 1 Oktober 2019 | 6:25pm
DR Wirdati Mohd Radzi

Dr Wirdati akhirnya sah dilantik

Oleh Jumiati Rosly

jumiati@bh.com.my

 

KUALA LUMPUR: Selepas kosong hampir lima bulan, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) hari ini menerima ‘bos’ baharu apabila Dr Wirdati Mohd Radzi menerima surat pelantikannya hari ini. 

Menerusi laman Instagram rasmi pasukan komunikasi Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman 'teamsaddiq' hari ini, satu gambar dimuatnaik dengan Syed Saddiq menyerahkan surat lantikan kepada Dr Wirdati dengan kapsyen "Tahniah Dr Wirdati Binti Mohd Radzi di atas pelantikan Pesuruhjaya Sukan Baharu".

Pelantikan Dr Wirdati juga menjadikan beliau sebagai calon pertama menjawat jawatan tertinggi dalam PPS menerusi temuduga dijalankan secara terbuka berbanding lantikan terus dilakukan sebelum ini.

Berbekalkan pengalaman luas Dr Wirdati sebagai Pensyarah Kanan Pusat Sukan dan Sains Eksersais Universiti Malaya (UM) dan juga latar belakangnya dalam bidang perundangan sukan, khidmatnya sangat ditagih dalam PPS.

Ia memandangkan beberapa isu sukan di negara ini masih tertunggak terutama membabitkan pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) bagi pengggal 2019-2023 yang masih belum selesai hingga ke hari ini.

Pada 23 September lalu, BH melaporkan 'kehilangan' Pesuruhjaya Sukan yang masih belum melapor diri sedangkan Syed Saddiq sudah mengumumkan pelantikan Dr Wirdati pada 2 Julai lalu.

Dr Wirdati sepatutnya mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Zaiton Othman yang bersara wajib pada 2 Mei lalu.

Berita Harian X