Isnin, 30 September 2019 | 6:14pm
ATLET kayak negara, Aris Adam pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini. - Foto Azhar Ramli

MASCA bermasalah, atlet tarik diri Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Atlet kayak negara, Aris Adam muncul atlet pertama menarik diri daripada temasya Sukan SEA 2019 Filipina gara-gara kecewa dengan kemelut melanda Persatuan Kanu Malaysia (MASCA).

Sambil mengakui mentalnya sudah 'koyak', atlet berusia 28 tahun itu, berkata dia tidak lagi mampu menahan diri selepas isu terbabit bagaikan tidak menemui jalan penyelesaian.

"Hari ini saya ingin umumkan bahawa saya menarik diri daripada beraksi di Sukan SEA 2019 kerana masalah ini terlalu rumit dan mungkin akan terus dibesarkan.

"Dan ingin saya sahkan bahawa saya tidak akan mengambil bahagian dalam acara lumba bot tradisional (TBR) dan kayak individu 1,000 meter (m)," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Keputusan Aris itu mungkin satu tamparan besar buat MASCA yang ketika ini sedang berdepan pergolakan dalaman akibat perselisihan faham antara ahli jawatankuasanya.

Malah, difahamkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) juga menerima dua versi borang pendaftaran atlet dan pegawai daripada MASCA - daripada ahli jawatankuasa selain presiden.

"Kami sebagai atlet agak keliru dan agak terganggu, persiapan kami juga turut terjejas sekali gus menyukarkan misi meraih penamat podium di Sukan SEA,” katanya.

Isu berkenaan berlarutan selepas wujud pencanggahan pendapat berhubung pengurus pasukan TBR ke temasya dwi-tahunan nanti yang mana atlet mahukan versi awal iaitu timbalan presiden MASCA, Michael Wong sebagai pengurus.

Berbeza dengan versi rasmi daripada MASCA yang meletakkan presiden Persatuan Kanu Terengganu, Dzulkafli Abas sebagai pengurus TBR bersama Raja Amran Shah Raja Musa (Presiden Perak) sebagai penolong pengurus ke Sukan SEA.

Namun, dipercayai isu terbabit tidak akan berlaku sekiranya sejak awal individu berkepentingan dalam MASCA tidak menukar senarai pendaftaran atlet dan pegawai tanpa pengetahuan presiden sehingga mencetuskan perbalahan itu.

Berita Harian X