Sabtu, 28 September 2019 | 7:54pm
Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA Filipina 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (tiga dari kiri) bersama Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA Filipina 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli (dua dari kiri) mengatakan sesuatu kepada atlet Skuasy pada Lawatan CDM Sukan SEA Ke-30 bertemu atlet Skuasy yang menyertai Sukan SEA Ke-30 di Filipina yang diadakan di Pusat Skuasy, Bukit Jalil, semalam. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Atlet Kategori B berpotensi sumbang pingat

 

KUALA LUMPUR: Atlet Kategori B yang beraksi pada temasya Sukan SEA 2019 Filipina nanti diyakini berpotensi meraih penamat podium dan bukan sekadar menjadi pelengkap kepada kontinjen negara.

Menurut Ketua Kontinjen Negara (CDM) ke Sukan SEA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, keyakinannya itu bersandarkan kepada sikap positif setiap persatuan sukan kebangsaan yang sudah membuat bayaran kepada MOM untuk atlet Kategori B masing-masing.

Katanya, ia secara tak langsung menunjukkan persatuan sukan kebangsaan benar-benar serius untuk temasya kali ini.

"Bila bayaran sudah dibuat saya rasa mereka benar-benar serius. Bagi saya mereka percaya atlet yang terpilih itu mampu meraih pingat untuk kontinjen negara," katanya.

Sebelum ini, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pernah berkata daripada 795 atlet yang sudah berdaftar itu, 393 daripadanya adalah daripada Kategori B manakala Kategori A seramai 402. 

Megat berkata, walaupun separuh daripada atlet itu berada di bawah Kategori B, pihaknya jelas mengharapkan sesuatu daripada barisan atlet kali ini. 

"Sukan SEA bukan tempat untuk sekadar mencuba. Setiap atlet perlu mencuba untuk meraih pingat. Apa keputusannya hanya waktu akan menentukan nanti. Apapun saya yakin atlet Kategori B yang pergi kali ini adalah mereka yang berpotensi untuk berada di podium," katanya.

 

 

Berita Harian X