Rabu, 25 September 2019 | 8:13am
FOTO hiasan.

Atlet negara ke Sukan SEA diwajibkan suntikan vaksin

KUALA LUMPUR: Atlet kebangsaan yang akan membawa cabaran negara pada Sukan SEA Filipina 2019 diwajibkan mengambil suntikan vaksin bagi mengelak dijangkiti wabak penyakit yang sedang melanda beberapa venue utama temasya sukan itu.

Ketua Kontinjen negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata semua persatuan sukan kebangsaan perlu menyediakan atlet mereka seberapa segera untuk menerima suntikan pada tarikh yang akan dimaklumkan Institut Sukan Negara (ISN) sebelum berlepas ke Filipina.

"Terdapat ramai atlet negara berlatih di luar negara dan mereka perlu mengambil vaksin tertentu kerana keadaan hari ini di sana (Filipina) banyak penyakit yang sedang melanda negara itu.

ISN telah menetapkan tarikh mereka perlu mengambil vaksin tersebut sebelum berlepas ke Filipina dan sebab itu semua persatuan harus menyediakan atlet mereka untuk menjalani proses pengambilan vaksin di ISN," katanya pada sidang media Mesyuarat Pengurus Pasukan Sukan SEA kali kedua di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini, semalam.

Saranan pengambilan vaksin itu dikeluarkan Kedutaan Malaysia di Filipina dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika lawatan wakil Majlis Sukan Negara (MSN) diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, ISN dan MOM ke semua venue pertandingan baru-baru ini.

Menurut Pengarah Perubatan ISN, Dr Arshad Puji, pihak kedutaan memaklumkan antara penyakit yang sedang melanda beberapa kawasan di Filipina adalah wabak demam campak.

"Semasa kita mengadakan lawatan awal ke Filipina tempoh hari, kita dimaklumkan oleh Kedutaan Malaysia di sana mengenai wabak demam campak yang sedang aktif di sana. Atas saranan daripada pihak kedutaan dan KKM kita akan menyediakan vaksinasi kepada atlet ke Manila," katanya.

Sementara itu, Megat Zulkarnain memaklumkan jumlah sasaran pingat emas negara pada temasya dwi tahunan itu hanya akan diketahui selepas satu bengkel khas membabitkan semua persatuan sukan pada 5 dan 6 November ini.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan acara penyerahan Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada kontinjen negara akan diadakan pada hari terakhir perhimpunan atlet yang dijadual berlangsung pada 19 hingga 21 November.

Sukan SEA ke-30 akan berlangsung dari 30 November sehingga 11 Disember ini bakal membabitkan 56 acara di tiga kluster iaitu Manila, Subic dan Clark.

-- BERNAMA

Berita Harian X