Isnin, 16 September 2019 | 10:51pm
Dari kiri Juliani, Syafi dan Nuramirah berjaya membentuk kombinasi prolifik dalam musim pertama mereka di kancah 2 Bundesliga.

Syakirah, Syafi meledak di Jerman

KUALA LUMPUR: Nuramirah Syakirah Zulkifli dan Maizatulhanim Syafi Fuad tidak menunggu lama untuk membentuk kombinasi prolifik dalam musim pertama mereka di kancah 2 Bundesliga.

Ini selepas dua penyerang muda skuad hoki negara itu menemui sasaran ketika pasukan baharu mereka Bremer HC mengatasi Ronner THV 3-1, semalam.

Syafi, 18, meledak dua gol manakala Nuramirah, 19, menghasilkan satu gol untuk memastikan pasukan berpangkalan di Bremen itu terus berada di persada liga dengan sembilan mata.

Sehari sebelum itu menyaksikan Nuramirah turut menyumbat dua gol dalam aksi kedua menentang Blau-Weiss Koln yang berkesudahan Bremer menang 4-0.

Kombinasi cemerlang mereka pantas mendapat jolokan 'Speedy' dalam kalangan rakan sepasukan dan perkara itu diakui rakan senegara lebih senior, Juliani Mohamad Din.

"Saya bangga dengan prestasi Nuramirah dan Syafi. Kami sudah beraksi tiga perlawanan di mana Nuramirah meledak tiga gol dan Syafi dua gol.

"Mereka dipuji dek kepantasan ketika memegang bola sekali gus menyebabkan pertahanan sukar untuk mengejar," kata Juliani yang mesra disapa sebagai Lily.

Di usia 33 tahun, Lily juga mengakui tugas dan tanggungjawab sebagai pemain lebih senior menyaksikan dia sering membantu Nuramirah dan Syafi untuk menyesuaikan diri.

"Selalunya saya bantu mereka untuk jelaskan mengenai taktikal yang mahu diterapkan jurulatih, dalam padang saya akan beri arahan untuk bantu mereka berdua," katanya.

Ia adalah tempoh pertama mereka di Jerman, berbeza dengan Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti dalam musim kedua bersama Wespen Zehlendorfer yang beraksi dalam saingan utama Bundesliga.

Meskipun masih baharu, namun ketiga-tiga pemain Malaysian Tigress itu kian menjadi kegemaran peminat hoki Bremer terutamanya Nuramirah yang terdahulu dinobatkan sebagai pemain terbaik Kejohanan Empat Penjuru di Groningen, Belanda baru-baru ini.

Berita Harian X