Isnin, 16 September 2019 | 10:16pm
Pemain yang menyertai pusingan akhir kebangsaan di Sabah Golf and Country Club, Kota Kinabalu.

5 terpilih wakili Malaysia ke final WAGC di Sabah

KOTA KINABALU: Saingan untuk memilih lima wakil Malaysia ke final Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) PERODUA ditentukan di Sabah Golf and Coutry Club di sini, semalam, menerusi pertandingan pusingan akhir kebangsaan.

Pemenang bagi kategori A menjadi milik Khalid Jikal (handikap 5) dengan catatan 72 nett, manakala kategori B dimenangi Nick Voon (handikap 9) dengan 73 nett dan Hamdan A Rahman (handikap 12) pula merangkul kategori C dengan 72 nett.

Bagi kategori D, ia menjadi milik Affandi Ag Besar (handikap 17) dengan catatan 66 nett manakala kategori E dimenangi Mohidi Jaan dengan 75 nett.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan mereka membawa cabaran Malaysia pada saingan pusingan akhir dunia WAGC PERODUA yang bakal diadakan di empat kelab golf ternama di Sabah bermula pada 19 hingga 26 Oktober ini.


(Dari kiri) Saminathan, Khalid, Nick Voon, A Sani, Ahmad Shah, Asmat, Hamdan, Affandi, Mohidi dan Zulkifli pada majlis penyampaian hadiah di Kota Kinabalu.

Hadiah kepada pemenang pada pusingan akhir kebangsaan itu disampaikan oleh Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin.

Ia turut dihadiri Pengerusi Tourim Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau; Presiden WAGC, Isac Saminathan; Penaung WAGC, Datuk A Sani Karim dan Setiausaha Kehormat Persatuan Golf Malaysia (MGA), Datuk Zulkifli Ismail.

Pengerusi Penganjur, Lokman Ishak dalam satu kenyataan di sini, hari ini berkata semua peserta pusingan akhir kebangsaan itu adalah pemenang daripada beberapa siri pusingan awal yang diadakan di seluruh negara sejak awal tahun ini.

Katanya, bagi pusingan akhir dunia bulan depan, seramai 400 peserta yang mewakili pelbagai negara dari benua Amerika Selatan, Utara, Eropah, Afrika, Oceania dan Asia sudah mengesahkan tempat untuk berentap di sini.

“Bagi pusingan akhir dunia ini nanti, empat kelab golf iaitu Sutera Harbour Golf & Country Club, Sabah Golf & Country Club, Nexus Golf Resort Karambunai dan Dalit Bay & Country Club dipilih untuk menjadi venue pertandingan.

“Kejohanan ini sudah pasti akan menjadi tumpuan dunia kerana menghimpunkan ramai pemain golf amatur dalam sekali gus,” katanya.

Malaysia sebelum ini pernah dua kali memenangi kejuaraan WAGC iaitu pada 2012 ketika diadakan di Afrika Selatan serta 2015 (Turki) selain naib juara pada 2016 dan 2018. Kejohanan ini bakal diadakan di Mexico pada tahun depan.

Berita Harian X