Sabtu, 14 September 2019 | 8:09pm
Faizal Saari (kanan) dan Fitri Saari ketika beraksi menentang Kanada pada saingan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke 28 di Stadium Azlan Shah, Ipoh pada 29 Mac lalu. - NSTP/Effendy Rashid

Peluang Faizal, Fitri beraksi bersama di Tokyo

KUALA LUMPUR: Selepas mengecapi pelbagai kejayaan, kini adalah masa terbaik untuk Faizal dan Fitri Saari mengatasi pencapaian pasangan adik beradik hoki lain yang pernah beraksi hingga ke Sukan Olimpik.

Temasya terulung dunia itu menjadi satu-satunya pentas yang belum pernah dijejaki mereka baik buat Faizal yang penampilan sulungnya hadir pada 2009 mahupun Fitri (2011).

Sebelum ini, arena hoki negara turut memiliki pasangan adik beradik yang popular seperti Dhaarma Raj Abdullah dan Embaraj, Keevan dan Logan Raj, Jiwa dan Jivan Mohan serta Roslan dan Izad Hakimi Jamaluddin.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pasangan yang pernah membuat kemunculan bersama di pentas Olimpik.

Sebaliknya, daripada empat pasangan terbabit menyaksikan masing-masing hanya seorang saja daripada setiap adik beradik itu ke Olimpik - Dhaarma, Keevan, Jiwa dan Roslan. Begitupun, laluan berliku menanti Faizal, 28, dan Fitri yang muda setahun daripadanya untuk muncul pasangan adik beradik pertama dari Malaysia melangkah ke pentas tertinggi itu.

Ini kerana, Great Britain bakal menjadi lawan atau halangan terakhir yang perlu dihadapi Malaysian Tigers dalam aksi kelayakan akhir di London, November ini.

Bagi Faizal, tiada misi mustahil meskipun pasukan yang bakal ditemui mereka adalah Britain, salah satu pasukan gergasi dunia.

"Kami perlu betul-betul fokus apabila bertemu Britain. Walau apa cara sekalipun kami perlu menang untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Ketika perlawanan ujian di Tokyo bulan lalu jika saya ada pun mungkin keputusannya tetap sama. Ini kerana kami sudah melalui banyak perlawanan sebelum itu di Jelajah Eropah dan pemain agak kepenatan," katanya.

Pasangan adik beradik itu nyata menjadi taruhan utama pasukan negara tatkala Faizal bertindak selaku penyerang manakala Fitri bijak menjadi perancang di bahagian tengah.

Ketiadaan kedua-duanya pada Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 bulan lalu kerana direhatkan nyata memberi impak besar apabila skuad negara tewas kesemua perlawanan namun Faizal dan Fitri kini sudah kembali bersama skuad kebangsaan.

Berita Harian X