Sabtu, 14 September 2019 | 8:04pm
Majlis Paralimpik Malaysia.

PPS nasihat tangguh EGM

KUALA LUMPUR: Usaha Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM), Rabu ini mungkin tidak tercapai selepas ia mendapat bantahan lebih daripada separuh ahli badan induk itu.

Ini selepas hanya lapan daripada 24 persatuan di bawah badan induk itu difahamkan bersetuju untuk EGM itu diadakan.

Malah, Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) sendiri turut menasihatkan agar pelaksanaan EGM itu ditangguhkan menerusi sepucuk surat kepada MPM semalam.

Menurut Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan (PJS), Asmadi Mohamad, adalah wajar untuk MPM mengambil pendekatan menangguhkan EGM terbabit dan memastikan ia diadakan dengan mengikut peraturan.

"PPS mengambil maklum permintaan ahli gabungan MPM untuk mengadakan EGM yang dijangka pada 18 September ini.

"Namun begitu pada masa yang sama PPS turut menerima bantahan daripada ahli yang tidak bersetuju untuk mengadakan EGM terbabit

"Besarlah harapan PPS agar pihak MPM segera menyelesaikan pertikaian ini daripada berpanjangan yang akhirnya akan menjejaskan pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia," kata Asmadi seperti dipetik di dalam surat itu.

Surat nasihat daripada PPS ini hadir hanya sehari selepas calon presiden MPM, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin memfailkan saman pemula untuk mendapatkan injuksi bagi menghalang MPM mengadakan EGM terbabit.

Difahamkan, cubaan mengadakan EGM itu sebagai jalan terakhir beberapa pihak dalam MPM meluluskan pencalonan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berhasrat merebut kerusi presiden badan induk itu yang bakal dikosongkan oleh SM Nasaruddin SM Nasimuddin.

Sebagai rekod, Asmadi menerusi surat bertarikh 30 Ogos lalu sudah menasihati MPM untuk menyelesaikan kemelut pemilihan  bagi penggal 2019-2023 mengikut kaedah yang betul. Katanya ketika itu, badan induk berkenaan perlu merujuk kepada perlembangaan artikel 26.3 yang menyatakan sekiranya proses mediasi gagal, maka isu berkenaan memerlukan kata putus daripada Menteri Belia dan Sukan atau Mahkamah Timbang Tara.

Berita Harian X