Sabtu, 14 September 2019 | 7:48pm
Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. - NSTP/Asyraf Hamzah

'Kita bukan underdog'

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia akan turun beraksi pada Sukan SEA 2019 di Filipina dari 30 November hingga 11 Disember ini dengan reputasi sebagai juara bertahan.

Dua tahun lalu ketika menjadi tuan rumah, kontinjen negara mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan dengan kutipan 145 pingat emas sekali gus yang terbaik sepanjang menyertai temasya dwitahunan itu.

Justeru, kali ini mahu atau tidak atlet negara perlu menunjukkan watak seperti juara bertahan dan bukannya ‘underdog’ biarpun ia berlangsung di luar negara.

Pencapaian terbaik kontinjen negara di luar Kuala Lumpur adalah meraih 68 emas di Korat, Thailand pada 2007.

Malah, kontinjen Malaysia dijangka melebihi jumlah penyertaan terbesar yang pernah dihantar negara di luar Kuala Lumpur selepas di Korat.

Ikuti Wawancara Eksklusif bersama Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin bersama Wartawan BH Sukan, Helmi Talkah bagi mengupas mengenai persiapan atlet negara menjelang temasya di Filipina itu.

SOALAN (S): Apa yang membuatkan Datuk menerima pelantikan sebagai ketua kontinjen Malaysia?

JAWAPAN (J): Saya berterima kasih kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, Ahli Lembaga MOM dan seluruh persatuan sukan kebangsaan yang sebulat suara memilih saya. Saya menerima jawatan ini kerana saya percaya saya boleh membantu dari aspek pengurusan, perjalanan dan persiapan kontinjen negara keseluruhannya. Saya ada pengalaman kerana sudah terbabit dengan dunia sukan sejak sekian lama. Saya tahu perasaan seorang atlet apabila mewakili negara ke sukan temasya, saya tahu perasaan jurulatih, pengurus dan lebih penting kehendak persatuan sukan kebangsaan.

S: Boleh Datuk kongsikan mengenai konflik yang berlaku membabitkan tuan rumah, Filipina?

J: Kita semua nampak mereka ada satu konflik dalaman agak kritikal apabila pihak Majlis Olimpik Filipina dan kerajaan tidak sefahaman. Apabila pasukan peninjau kita melawat, banyak persiapan yang tidak dibuat. Contohnya, venue pertandingan. Apa yang saya andaikan benar-benar berlaku apabila beberapa acara sukan dipindahkan. Ini sedikit sebanyak mempengaruhi mental atlet kita biarpun saya tahu atlet perlu sentiasa bersedia mengharungi apa jua situasi. Apapun, ini adalah soal teknikal dan saya percaya tuan rumah akan melakukan yang terbaik bagi mengatasinya.

S: Datuk ada membangkitkan kebimbangan soal makanan halal sebelum ini, boleh Datuk jelaskan?

J: Ini yang paling saya bimbangkan. Atlet kita ramai yang beragama Islam dan apabila saya bertanyakan mengenai sejauh mana soal halal dititik beratkan, jawapan yang saya terima dalam ketiga-tiga mesyuarat saya hadiri adalah sama. Tafsiran halal mereka mudah saja, tiada babi dan tiada alkohol. Saya juga bertanyakan bagaimana pula sumber seperti peralatan dan sebagainya, jawapan mereka ia daripada sumber sama. Sekiranya mereka memasak makanan tidak halal, kuali yang sama jugalah digunakan untuk memasak makanan halal. Jadi, timbul keraguan dan mana mungkin saya pulang ke Malaysia memberitahu ia halal.

S: Jadi, apakah pendekatan diambil untuk mengatasi masalah ini?

J: Di Clark, semua peralatannya adalah baru kerana ia dibuat khusus untuk Sukan SEA. Jadi, saya yakin ia halal. Saya juga sudah bertemu dengan pembekalnya dan saya bertemu dengan pengaturnya iaitu Haji Adnan Kiram. Masalah makanan tidak halal hanya di Manila kerana ia membabitkan 14 hotel yang menjadi perkampungan atlet. Pendekatan yang kita ambil adalah kita membawa makanan kita sendiri. Tukang masak kita tidak bawa kerana pihak penganjur enggan bertanggungjawab sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini seperti keracunan makanan atau sebagainya. Jadi, kita cari kaedah yang mana penganjur tidak boleh lepas tangan.


Ketua kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. - NSTP/Asyraf Hamzah

S: Adakah menghantar kontinjen terbesar di luar Kuala Lumpur kali ini akan memberi kelebihan kepada Malaysia?

J: Kita hadir dengan imej sebagai juara bertahan apatah lagi kita baru menjadi tuan rumah. Kita menjadi juara keseluruhan  sebelum ini dengan pungutan pingat luar biasa apabila meraih 145 emas. Jadi, suka atau tidak, kita tidak boleh ke Filipina dengan mengatakan kita adalah 'underdog'. Kita perlu tunjuk watak seperti juara bertahan. Apa jua keputusan yang dicapai, itu kita lihat di sana nanti. Namun, kita perlu ingat daripada 145 emas yang kita menangi sebelum ini, 70 daripadanya sudah hilang kerana acara tidak dipertandingkan. Apa pun, kita tidak boleh lihat penyertaan kali ini secara mudah. Saya tidak mahu ada pemikiran asal boleh saja hanya disebabkan ia berlangsung di luar negara.

S: Bagaimana Datuk melihat persiapan atlet kita?

J: Saya cukup puas hati. Atlet kita memang sentiasa melakukan persiapan, bukan hanya apabila berlangsungnya sukan temasya. Mereka memang sentiasa bersedia. Saya seronok apabila dapat bertemu dengan atlet dan sampaikan mesej secara terus kepada atlet. Berdasarkan kajian saya, atlet kita mempunyai kelengkapan yang sangat baik bagi membuat persiapan dengan bantuan daripada Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN). Namun, apabila bertanding, ada masanya pencapaian tidak seperti yang diharapkan berbanding negara yang tidak mempunyai kelengkapan. Ini kerana, atlet kita ada masalah dalaman. Jadi, apabila saya bertemu atlet, saya tiupkan kata-kata semangat dan mereka nampak berkobar-kobar.

S: Boleh Datuk kongsikan sasaran kontinjen negara?

J: Secara peribadi, saya tidak boleh nafikan yang saya sudah membuat perkiraan. Kita mempunyai jawatankuasa teknikal yang sudah memperhalusi semua faktor dan peluang atlet kita dan siapa atlet yang kita sasarkan untuk menyumbangkan pingat. Kita juga mengkaji kekuatan setiap negara yang bertanding. Sedikit sebanyak, kita sebenarnya sudah ada jumlah angka yang kita boleh sasarkan. Namun, perkara itu biarlah diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Kajian yang kita buat merangkumi semua faktor termasuklah jumlah maksimum pingat yang kita boleh dapat dan sebaliknya.

S: Adakah Datuk yakin kontinjen kali ini mampu mengatasi pencapaian terbaik di luar Kuala Lumpur?

J: Secara peribadi saya berpendapat kita memang perlu ada sasaran itu, mesti ada keyakinan. Apa guna saya bawa kontinjen tetapi tidak berfikiran positif. Saya mestilah bercita-cita tinggi dan saya percaya semua orang juga bercita-cita tinggi dengan sasaran mahu mengatasi pencapaian di luar Kuala Lumpur. Seperti yang saya katakan, kita pergi kali ini bukan sekadar menyertai. Kita hadir sebagai juara bertahan jadi kita tunjuk watak seperti itu. Kita makan, jalan dan bertanding sebagai juara bertahan. Saya tidak suka merendahkan kemampuan atlet, saya tidak suka pendekatan seperti itu.

Berita Harian X