Jumaat, 13 September 2019 | 8:34pm
Orang ramai yang hadir pada Program FitMalaysia Edisi Sabah 2019 di Padang Perbandaran Tawau, Ogos lalu. - NSTP/Abdul Rahemang Taiming

KBS batal FitMalaysia di Melaka

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) mengambil keputusan membatalkan program FitMalaysia edisi Melaka yang dijadualkan berlangsung esok di Dataran Pahlawan Melaka Megamall, Bandar Hilir Melaka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan KBS, keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat dan pandangan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dan Jabatan Alam Sekitar Melaka dengan memberi pandangan aktiviti fizikal di kawasan terbuka adalah tidak digalakkan sekiranya Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

"Berdasarkan laporan IPU yang dicatatkan di Bandaraya Melaka pada petang ini adalah sekitar 120 dan dijangkakan berada diparas tidak sehat untuk aktiviti luar esok,” kata kenyataan itu.

"Program FitMalaysia sentiasa mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur terutamanya kanak-kanak. Oleh itu pihak KBS terpaksa membatalkan program ini untuk mengelakkan risiko orang ramai berdepan dengan masalah kesihatan."

KBS berkata sebarang pengumuman berkenaan pelaksanaan program FitMalaysia edisi Melaka pada masa yang akan datang akan dimaklumkan kemudian.

"KBS mengucapkan ribuan terima kasih kepada lebih 12,000 orang peserta yang telah mendaftar untuk menyertai program FitMalaysia edisi Melaka," katanya.

Berita Harian X