Jumaat, 13 September 2019 | 3:32pm
Perdana Menteri menyerahkan sumbangan kerusi roda kepada Zakri dan tongkat kepada Azman.

YAKEB terharu sokongan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) terharu dengan keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap usaha yayasan itu mencari dana bagi membantu bekas atlet di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, dalam pertemuan sejam di Yayasan Al-Bukhary pagi ini bersama ahli lembaga pengarah YAKEB, beliau berkesempatan untuk menerangkan mengenai apa yang dilakukan YAKEB selepas 12 tahun penubuhannya kepada Perdana Menteri.


Perdana Menteri bergambar kenangan bersama Ahli Lembaga Pengarah YAKEB.

"Dr Mahathir memaklumkan akan cuba membantu YAKEB dari segi kewangan walaupun ekonomi negara agak meruncing pada masa ini.

"Dr Mahathir mengikuti perkembangan YAKEB memandangkan kebanyakan bekas atlet yang ada sekarang adalah atlet daripada era beliau menjadi Perdana Menteri sebelum ini. Beliau juga ada memberi beberapa cadangan bagi YAKEB untuk mencari dana sendiri," katanya kepada BH Sukan di sini hari ini.

Noorul berkata, YAKEB juga memaklumkan beberapa program yang sudah dirancang termasuklah penjualan jongkong emas sempena Bulan Sukan Negara pada bulan hadapan, Kejohanan Golf Amal bersama Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin pada November ini dan perlumbaan larian pada Disember ini.

"Kami mengharapkan memperoleh suntikan kewangan bagi membantu bekas atlet yang ada. Kami mengemukakan data kes perubatan yang membabitkan bekas atlet dan Dr Mahathir sendiri mengetahui kos perubatan semakin meningkat," katanya.

Untuk rekod, pada Februari lalu, kerajaan bersetuju memberikan suntikan dana RM3 juta kepada YAKEB namun yayasan itu perlu mencari dana tambahan sendiri memandangkan peningkatan ahli setiap tahun.

"Kita tidak memperoleh dana atau geran secara tetap dan ketika memperoleh dana itu (RM3 juta), kita perlu menyelesaikan hutang dengan beberapa hospital swasta dahulu.

"Setahun kita anggarkan RM1.7 juta diperlukan untuk kos rawatan perubatan sahaja dan itu tidak termasuk kos pengurusan serta skim lain yang ditawarkan contoh seperti khairat kematian, peralatan dan lain-lain. Secara amnya kita memerlukan purata RM2 juta setahun," katanya mengenai YAKEB yang kini mempunyai 2,765 ahli.

Dalam perjumpaan itu, Dr Mahathir turut sudi menyerahkan sumbangan kerusi roda buat bekas juara silat dunia, Zakri Ibrahim dan juga tongkat bagi digunakan bekas atlet olahraga para negara, Azman Salleh.

Berita Harian X