Khamis, 12 September 2019 | 11:57pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Rosela Ismail

Peluang cerah angkat berat: Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Sukan angkat berat berpeluang untuk kembali dipertandingkan di Sukan Malaysia (SUKMA) Johor tahun depan namun keputusan muktamad hanya akan dibuat menerusi perbincangan bersama Majlis Tertinggi temasya dwi tahunan itu yang dijadual berlangsung Khamis depan. 

Nama sukan subjektif itu tercalar dengan isu doping yang berulang kali sehingga menyebabkan diletakkan dalam status 'KIV' (simpanan dalam perhatian) oleh pihak penganjur SUKMA.

Biarpun begitu, semalam Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mampu menarik nafas lega apabila lima atlet kebangsaan di bawah kelolaan mereka didapati negatif daripada satu ujian mengejut dilakukan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Julai lalu. 

Keputusan itu secara tidak langsung memberi sinar baharu buat sukan berkenaan untuk kembali disenaraikan di SUKMA Johor dan ia turut dikongsikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Perkembangan sangat baik. Ini menunjukkan persatuan dan atlet komited untuk mereformasikan sukan angkat berat. Kita akan membawa perkembangan baik ini kepada jawatankuasa tertinggi SUKMA untuk diperhalusi dan dibincangkan bersama sebelum membuat keputusan muktamad berkenaan penyertaan angkat berat di SUKMA Johor. 

"Saya nampak peluang yang lebih baik tetapi tidak boleh memutuskannya secara berseorangan. Akan dibincangkan bersama dalam jawatankuasa tertinggi SUKMA nanti," kata Syed Saddiq kepada media selepas majlis perjumpaan bersama atlet podium. 

Semalam, presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat mengesahkan lima atletnya yang menjalani ujian doping 31 Julai lalu - Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Mohd Yusoff Nandong dan Nur Atikah Mahamad Sobri - negatif daripada mengambil bahan terlarang. 

Mengulas mengenai majlis malam tadi, Syed Saddiq berkata: "Ini adalah satu suntikan semangat kepada mereka semua. Khususnya persediaan ke sukan SEA dan juga mereka yang akan pergi ke beberapa acara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

"Kita juga ada ada Paralimpik dan beberapa acara sukan lain. Ini suntikan semangat dan untuk kita rapatkan saf bagi memastika kita bersedia bagi mengharunkan nama negara di persada dunia."

Berita Harian X