Khamis, 12 September 2019 | 11:38pm
PRESIDEN Persatuan Hoki Johor (JHA), Mohd Khuzzan Abu Bakar. - Foto Hairul Anuar Rahim

Skuad hoki remaja dicabar ke final

JOHOR BAHRU: Persembahan yang lebih mantap dan layak ke final harus menjadi sasaran utama skuad hoki remaja menghadapi Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor  (SOJ) edisi kesembilan yang akan diadakan di Stadium Hoki Taman Daya dari 12 hingga 19 Oktober ini.

Presiden Persatuan Hoki Johor (JHA), Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, pada edisi tahun lalu persembahan yang ditampilkan skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin kurang memuaskan selepas sekadar meraih tempat kelima dan berharap pada edisi tahun ini layak ke separuh akhir dan mengintai peluang ke final.

"Selepas kejohanan tahun lalu, kami mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Hoki Malaysia (MHF) berhubung dengan pasukan yang akan dihantar untuk edisi tahun ini. Ini kerana ia adalah platform terbaik untuk pemain remaja mendapat pendedahan terbaik pada kejohanan bertaraf antarabangsa peringkat remaja,” kata Mohd Khuzzan.

"Malah MHF memberi maklum balas yang positif memandangkan skuad remaja negara dalam rangka persiapan untuk menghadapi Kelayakan Piala Dunia Remaja yang akan diadakan di Dhaka, Bangladesh pada 4 hingga 14 Jun tahun depan.

"Saya juga dimaklumkan persiapan skuad remaja negara sudah bermula sejak dua bulan lalu dan ia menunjukkan perkembangan yang baik bagi pasukan itu beraksi menentang lima lagi pasukan – Britain, Jepun, India, Australia dan New Zealand."

Skuad remaja negara akan diperkuat dua pemain kebangsaan – Ariff Shafie Ishak dan Akhimullah Anuar Esook manakala dua lagi pemain, Mohd Azrai Aizat dan Mohd Firdaus menjalani latihan bersama skuad senior.

Ditanya mengenai kondisi padang tiruan Stadium Hoki Taman Daya yang berada dalam keadaan tidak baik, Mohd Khuzzan menegaskan pihaknya sedang giat membaik pulih padang dan fasiliti stadium bagi memastikan kelancaran kejohanan itu.

"Kita akan menaik taraf sepenuhnya stadium berkenaan terutama padang untuk persiapan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor, Julai tahun depan selepas kejohanan hoki Piala Sultan Johor. Kos baik pulih dalam anggaran RM6 juta.

"Apapun untuk kejohanan hoki edisi kesembilan kali ini, saya akan pastikan keadaan stadium dan padang berada di tahap memuaskan dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Konfederasi Hoki Antarabangsa (FIH)," katanya.

 

 

Berita Harian X