Khamis, 12 September 2019 | 4:30pm
PRESIDEN PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail. - Foto Owee Ah Chun

PSM sokong ISTAF bawa sepak takraw ke Sukan Olimpik

KUCHING: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyokong penuh usaha berterusan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) untuk membawa sukan tradisi itu ke temasya sukan paling berprestij iaitu Sukan Olimpik.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata dengan perkembangan terbaharu yang menyaksikan sepak takraw akan dipromosikan di dalam Olympic Channel, ia suatu langkah terbaik dalam perjalanan menuju kepada penyenaraian sukan itu di temasya yang berlangsung empat tahun sekali.

“PSM menaruh harapan tinggi untuk melihat sepak takraw menjadi salah satu sukan yang dipertandingkan di dalam Sukan Olimpik. Kami akan berganding bahu bersama ISTAF dalam menjayakan usaha ini.

“Untuk permulaan, perlunya penyenaraian sepak takraw di dalam Sukan Komanwel yang akan datang ini supaya boleh menjadi platform terbaik sebelum langkah seterusnya ke Sukan Olimpik,” katanya kepada Bernama.

Sepak takraw mula dipertandingkan di temasya Sukan SEA pada 1965 manakala Sukan Asia pula pada 1990.

Sebelum ini Bernama melaporkan peluang untuk sukan sepak takraw disenaraikan dalam Sukan Olimpik semakin cerah apabila Olympic Channel memberikan lampu hijau untuk promosi sukan itu.

Olympic Channel adalah destinasi media global utama yang mana peminat boleh merasai kuasa sukan dan keterujaan Sukan Olimpik sepanjang tahun dan ia boleh disaksikan di seluruh dunia di www.olympicchannel.com, 24 jam sehari, 365 hari setahun dalam 11 bahasa.

Dalam pada itu, Ahmad Ismail berkata banyak usaha yang perlu dipertingkatkan lagi untuk merealisasikan impian berkenaan.

Antaranya ISTAF harus memastikan sepak takraw menjadi sukan yang diterima oleh seluruh dunia.

“Saya difahamkan untuk sesuatu sukan itu disenaraikan di dalam Sukan Olimpik, antara syaratnya ialah sukan berkenaan perlu merentasi lima benua dan sekurang-kurangnya 70 negara bermain secara aktif,” katanya.

Selain sepak takraw, lima persatuan sukan yang turut di senaraikan di dalam Olympic Channel yang diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ialah Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), Persekutuan Ice Stock Sport Antarabangsa (IFI), Persekutuan Menyelamat Nyawa Antarabangsa (ILS), Persekutuan Perahu Naga Antarabangsa (IDBF), dan Persekutuan Gusti Lengan Dunia (WAF).

-- BERNAMA

Berita Harian X