Rabu, 11 September 2019 | 11:37pm
ATLET Skuasy Lelaki Malaysia, Darren Rahul. NSTP/Azhar Ramli

Darren mahu lebih fokus di Manila

KUALA LUMPUR: Tiada perkara lain bermain di fikiran pemain skuasy negara, Darren Rahul Pragasm menjelang temasya Sukan SEA Filipina 2019, selain fokus terhadap rentak permainan.

Darren yang berusia 20 tahun itu juga tidak mahu menjadikan kesilapan ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) lalu berulang di Filipina yang dijadual pada 30 November hingga 11 Disember ini.

“Ini akan menjadi Sukan SEA kedua saya selepas penampilan pertama tidak begitu menjadi seperti dirancang. Kali ini saya akan lebih fokus kerana saya rasa lebih matang dengan bantuan pasukan,” kata Darren.

“Kami sedar bahawa pasukan lain kuat tetapi usaha keras akan dilakukan selain memberikan tumpuan di gelanggang. Jika dapat bermain dengan baik, apa saja boleh terjadi.

“Pada penyertaan kali pertama di Sukan SEA, saya tidak pandai kawal tekanan tapi ia akan dijadikan pengajaran, jadi saya harap kali ini ia akan menjadi lebih baik.”

Pada KL2017 lalu, pemain dari Seremban, Negeri Sembilan itu menamatkan saingan di pusingan separuh akhir selepas tersungkur kepada Rafael Yam dari Filipina.

Sementara itu, Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) meletakkan sasaran untuk meraih empat pingat emas dan tiga pingat perak dalam empat acara yang ditawarkan di Filipina nanti. 

Pada edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu, skuad negara meraih enam pingat emas, empat perak dan dua gangsa.

 

 

205 dibaca
Berita Harian X