Selasa, 10 September 2019 | 7:50pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - NSTP/Azhar Ramli

Syed Saddiq minta MPM, PPS bincang selesai kemelut

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedia menyelesaikan kemelut pemilihan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) secepat mungkin jika tiada pilihan.

Katanya, tindakan campur tangan itu juga hanya akan dilakukan selepas mereka mengadakan perbincangan dan mendapat nasihat daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS).

“Kalau sudah sampai ke tahap itu, saya akan cuba selesaikan secepat mungkin. Tetapi kena melalui proses sedia ada terlebih dahulu," katanya selepas mengiringi lawatan Naib Penaung Sukan Komanwel, Putera Edward, Earl of Wessex ke Kuala Lumpur Sports City (KLSC) di Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Mesyuarat agung tahunan (AGM) MPM pada 29 Jun lalu sepatutnya menyaksikan pemilihan kepimpinan baharu bagi penggal 2019-2023, namun di tangguhkan ke satu tarikh lain. Sehingga kini masih belum ada tarikh baru ditetapkan sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenainya.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata dia turut dimaklumkan mendapat beberapa cadangan daripada kepimpinan MPM untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

“Ada yang ingin melakukan EGM (mesyuarat agung luarbiasa). Ada yang nak saya putuskan dan ada juga mahu diselesaikan menerusi Mahkamah Timbang Tara. Jadi perkara ini saya biarkan Pesuruhjaya Sukan bincangkan bersama dengan mereka untuk mencari kata sepakat sebelum wujudnya keperluan untuk saya masuk campur," katanya.

Syed Saddiq dalam masa sama menasihatkan agar kemelut yang berpanjangan itu perlu diselesaikan secepat mungkin kerana Malaysia bakal menghadapi temasya besar selepas ini.

“Nasihat saya, mereka perlu selesaikannya secepat mungkin. Perkara ini sudah berlarutan begitu panjang dan memang lazimnya tidak boleh ada campur tangan daripada menteri, cuma boleh beri nasihat.

“Tolong selesaikan secepat mungkin sebab kita ada kejohanan penting untuk dihadapi seperi Para ASEAB dan juga Sukan Paralimpik Tokyo," katanya.

Sementara itu ketika berada di KLSC, Putera Edward meluangkan masa menyaksikan sesi latihan atlet terjun dan renang di Pusat Akuatik Nasional selain atlet sepak takraw dan wushu negara menjalani latihan bagi menghadapi ke Sukan SEA Filipina.

Baginda turut berkesempatan menyaksikan latihan atlet gimrama di gimnasium 1 dan gimnastik artistik lelaki serta wanita di gimnasium 3 MSN selain beramah mesra bersama atlet negara termasuk atlet para di ruang legar gimnasium 3.

391 dibaca
Berita Harian X