Selasa, 10 September 2019 | 12:45pm

700 sahut cabaran Silat Cekak Harimau Malaysia

KUANTAN: Seramai 700 pesilat daripada 45 pasukan termasuk dari luar negara bakal menghangatkan Kejuaraan Silat Terbuka Cekak Harimau Malaysia 2019 kali kedua di Dewan Tun Razak, Temerloh, selama empat hari bermula Jumaat ini.

Empat pasukan luar negara yang mengesahkan penyertaan ialah Kyrgyzstan dan Thailand, masing-masing menghantar satu pasukan, diikuti Singapura (dua pasukan) dan Indonesia (empat pasukan).

Presiden Pertubuhan Silat Cekak Harimau Malaysia, Datuk Osman Nok berkata, penyertaan pesilat dari luar negara diharap memeriahkan kejuaraan pada kali ini.

"Dengan penyertaan pesilat luar dan tempatan, ia memberi pendedahan dan pengalaman terbaik bagi menilai tahap persediaan pesilat muda," katanya.

Pada kejuaraan kali ini, tiga kategori dipertandingkan iaitu usia dini (tujuh hingga 12 tahun), remaja (13 - 16 tahun) dan Sukan Malaysia (SUKMA) - (17 tahun - 20 tahun).

Katanya, tujuan kejuaraan silat itu dianjurkan bagi mencungkil bakat baharu, selain sebagai persediaan pesilat yang bakal menyertai SUKMA 2020 di Johor.

"Penyertaan pesilat dari luar negara juga diharapkan dapat memberi pengalaman berharga kepada semua peserta tempatan," katanya.

Pada kejuaraan sama tahun lalu, seramai 300 pesilat daripada 35 pasukan mengambil bahagian di Kuantan.

368 dibaca
Berita Harian X