Isnin, 26 Ogos 2019 | 11:22pm
Jaguh berbasikal trek nombor satu negara, Azizulhasni Awang. - NSTP/Adzlan Sidek

Azizulhasni teruja potensi pelapis

NILAI: Jaguh berbasikal trek nombor satu negara, Azizulhasni Awang tidak bimbang dengan barisan pelapis yang dilihat mampu mengisi kekosongan yang akan ditinggalkannya satu hari nanti.

Mengulas mengenai Kejohanan Trek Kebangsaan yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini di Velodrom Nasional, Nilai, Azizulhasni berkata kejohanan itu menyaksikan ramai pelumba berbakat berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

"Mereka ini saya lihat teruja untuk berlumba tetapi daripada segi taktikal mereka masih tidak begitu mahir.

"Pelumba muda ini daripada segi fizikalnya adalah lebih baik daripada saya, cuma harap mereka ini diberikan lebih ruang dan peluang," katanya selepas memenangi pingat emas acara keirin elit lelaki di sini hari ini.

Katanya, pelumba muda ini juga mempunyai mentaliti untuk muncul juara namun masih perlu diberi pendedahan yang konsisten kerana belum mempunyai keyakinan tinggi. 

Pada kejohanan kali ini, Azizulhasni yang mewakili Terengganu mengumpul tiga pingat emas - keirin, pecut dan 1km ujian masa individu. 

"Hari ini saya sebenarnya lesu dan penat sedikit, kesan selepas perlumbaan yang panjang semalam. Di sebelah pagi saya masuk 1 kilometer ujian masa lepas dan selepas itu sertai acara pecut hingga lewat petang dan saya rasa ada lebih kurang keseluruhan tujuh perlumbaan. 

"Kami sampai ke penginapan di Majlis Sukan Negara pun lebih kurang 9.30 malam jadi kaki saya memang agak berat pagi ini," katanya yang akan bertolak ke China pada malam esok bagi Kejohanan Antarabangsa Trek China. 

Pelumba yang dikenali The Pocketrocketman itu berkata beliau bagaimanapun tidak akan terlalu memaksa dirinya untuk melakukan yang terbaik di China nanti kerana tidak mahu tercedera menjelang Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korea Selatan pada 17 Oktober ini. 

Berita Harian X