Isnin, 26 Ogos 2019 | 9:33pm
Pelumba basikal Perlis, Ju Pha (kanan) dan Anis Amira Rosidi meraih emas acara pecut berpasukan elit wanita pada Kejohanan Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional hari ini. - NSTP/Adzlan Sidek

Gandingan 'bidan terjun' Ju Pha, Anis Amira bawa tuah

NILAI: Biarpun digandingkan di saat akhir, pelumba Perlis, Ju Pha Som Net dan Anis Amira Rosidi mencuri tumpuan bukan sahaja kerana kejelitaan mereka, namun kejayaan memenangi pingat emas acara pecut berpasukan elit wanita pada Kejohanan Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional hari ini.

Ju Pha, 26, yang sebelum ini memenangi emas acara omnium dan kini memberi tumpuan pada perlumbaan jarak jauh mengakui tidak menyangka meraih kemenangan selepas kali terakhir beraksi dalam acara berkenaan ketika berusia 18 tahun.

"Kami pun tak sangka dapat memenangi perlumbaan hari ini dengan catatan masa yang agak baik kerana ini adalah penyertaan di saat akhir.

"Ini adalah kali pertama kami digandingkan dan gembira apabila dapat menewaskan pasukan pilihan, Selangor dan Terengganu," kata Ju Pha yang akan mewakili negara dalam acara lebuh raya pada Sukan SEA di Filipina November ini. 

Gandingan Ju Pha-Anis Amira merekodkan 35.609 saat bagi menewaskan gandingan Fatehah Mustapa-Nur Aisyah Mohamad Zubir dari Terengganu yang berpuas hati dengan perak (36.194s). 

Pasukan Selangor - Farina Shawati Mohd Adnan-Nurqadrina Emylia merangkul gangsa.

"Saya berpuas hati dengan persembahan saya satu emas (pecut berpasukan), dua perak (pecut dan keirin) serta gangsa 500 meter ujian masa pada Kejohanan Trek Kebangsaan pada kali ini. Bagi saya pingat di sini adalah bonus buat saya," kata Anis Amira. 

Dalam acara keirin wanita, Anis Amira dan Ju Pha masing-masing memperoleh pingat perak dan gangsa di belakang Fatehah yang berjaya menyarung jersi kebangsaan ketiga buatnya apabila sebelum ini memenangi emas acara pecut dan 500m ujian masa individu. 

Berita Harian X