Ahad, 25 Ogos 2019 | 7:50pm
PELUMBA basikal negara, Azizulhasni Awang (kanan) yang mewakili pasukan Terengganu meraikan kemenangan selepas meraih pingat emas selepas bersaing bersama pelumba basikal Selangor, Mohammad Shariz Efendi dalam acara akhir pecut 200 meter elit lelaki pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2019 di Velodrom Nasional Nilai, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek

Azizulhasni tak sangka menang

NILAI: Biarpun sekadar suka-suka, jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang tidak menyangka penyertaannya dalam acara 1 kilometer ujian masa individu elit lelaki pada Kejohanan Trek Kebangsaan di Velodrom Nasional, hari ini membuahkan hasil apabila berjaya menyarung jersi kebangsaan.

The Pocketrocketman yang baru sahaja memenangi satu pingat emas dan satu perak pada Grand Prix Piala Trek Asia Tenggara yang berakhir Jumaat lalu, mencatatkan 1 minit 3.168 saat untuk menewaskan pakar ujian masa dari Selangor, Muhammad Fadhil Mohd Zonis yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila mencatatkan 1:04.283s. 

Pelumba Johor Amar Danial Masri memperoleh gangsa apabila mencatatkan 1:05.052s.

"Memang sudah lama saya tak sertai acara ujian masa kalau tak silap kali terakhir ketika saingan di peringkat remaja dahulu.

"Pagi tadi saya ingatkan nak panaskan badan sahaja tetapi selepas itu saya tanya John (Beasley) sama ada boleh sertai dan selepas dapat lampu hijau baru saya buat keputusan untuk sertai. Tak sangka pula saya dapat buat masa terbaik," katanya yang mewakili pasukan Terengganu.

Sementara itu, Fatehah Mustapa juga dari Terengganu masih unggul dengan mencatatkan 35.891s dalam acara 500m ujian masa individu elit wanita bagi menewaskan Farina Shawati Mohd Adnan (36.608s) dan Anis Amira Rosidi (37.631s).

"Tahun lepas saya peroleh tiga jersi kebangsaan keirin, pecut dan 500m ujian masa individu. Saya harap dapat kekalkan itu pada tahun ini.

"Saya cuma harap penyokong dan peminat lumba basikal kekal memberi sokongan buat saya membuat kemunculan semula dan mencipta sejarah untuk negara semula," katanya yang menyasarkan mengutip pingat pada Kejohanan Berbasikal Asia di Korea Selatan pada Oktober ini.

Berita Harian X