Sabtu, 24 Ogos 2019 | 9:16pm
Atlet karate Malaysia, Syakilla Salni Jefry Krisnan. - Foto Azhar Ramli

Syakilla beri MAKAF berita gembira

KUALA LUMPUR: Latihan intensif Syakilla Salni Jefry Krisnan di Phuket, Thailand mula membuahkan hasil apabila ratu karate negara itu dikhabarkan sudah kembali ke berat badan unggul sekali gus menghidupkan peluangnya untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Malah, Setiausaha Agung Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad mengesahkan bahawa atlet berusia 27 tahun itu juga disenaraikan ke Sukan SEA Filipina hujung tahun ini.

"Berat badan Syakilla ketika ini ialah 55.8 kilogram (kg) dan hanya perlu menurunkan sedikit lagi bagi membolehkan dia beraksi semula dalam kategori bawah 55kg.

"Ini sesuatu yang menggembirakan kami dan Majlis Sukan Negara (MSN), dan atas sebab itu kami menyenaraikan dia ke Sukan SEA," kata Nur Azmi selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MAKAF, hari ini.

Ini bermakna, Syakilla yang pada satu ketika pernah bergelar atlet karate nombor satu dunia bawah 55kg berjaya dalam misinya menutup mulut pengkritik selepas teruk dikecam gara-gara sikap ala divanya.

Dia sebelum ini terlepas beberapa kejohanan utama sehingga menyaksikan ranking dunianya tergelincir ke nombor 41.

Sementara itu, Nur Azmi menegaskan sasaran MAKAF bagi Sukan SEA 2019 kekal dengan empat pingat emas.

"Buat masa biarlah ia menjadi rahsia," katanya ketika menjawab mengenai acara apa menjadi sandaran utama kem karate negara. “Kami enggan mendedahkannya terlalu awal bimbang jika negara pencabar tahu di mana kekuatan kita," katanya.

Berita Harian X