Khamis, 22 Ogos 2019 | 11:36pm
Atlet Silat Cekak Pusaka Hanafi, Nur Farahin Mohd Salleh (kiri) melakukan latihan bagi mewakili Malaysia ke World Martial Arts Masterships 2019 di Chungju, Korea Selatan. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Pusaka Hanafi Malaysia buru emas di Chungju

KUALA LUMPUR: Misi memburu pingat emas di World Martial Arts Masterships 2019 di Chungju, Korea Selatan menjadi keutamaan Nur Farahin Mohd Salleh biarpun ini penyertaan pertamanya di pentas antarabangsa. 

Pesilat dari Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Pusaka Hanafi Malaysia) itu dijadual menyertai kelas berpasangan tangan kosong bersama Najwa Wajihah Mohd Roslin pada kejohanan bermula 29 Ogos hingga 7 September ini. 

"Tentunya ada perasaan gementar kerana ini peringkat antarabangsa," kata pekerja swasta di Hospital Pantai, Bangsar itu ketika ditemui selepas melakukan latihan persiapan di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), malam tadi. 

"Saya harap kami berdua dapat melakukan yang terbaik dan dapat beraksi dengan sebaik mungkin pada hari pertandingan nanti. Secara peribadi apa yang boleh saya katakan, kami sudah berlatih hampir enam bulan dan misi kami adalah emas."

Temasya tiga tahun sekali yang menghimpunkan hampir semua sukan mempertahankan diri di seluruh dunia itu menyaksikan kontinjen Pusaka Hanafi Malaysia menghantar 20 pesilat dalam lima acara - perseorangan tangan kosong lelaki, berpasangan tangan kosong, perseorangan bersenjata, berpasangan bersenjata dan berkumpulan.

Pada penyertaan sulung di Cheongju 2016, kontinjen ini membawa pulang pingat perak dalam kelas berpasangan. 

Sementara itu, Presiden Pusaka Hanafi Malaysia, Dr Md Radzi Hanafi berkata, matlamat utama penyertaan kontinjen adalah untuk mempromosikan seni silat Melayu di pentas antarabangsa. 

"Matlamat utama penyertaan kontinjen Pusaka Hanafi Malaysia sekali lagi dalam temasya ini adalah untuk mempromosikan kepada masyarakat antarabangsa mengenai keistimewaan seni silat Melayu iaitu Silat Cekak Pusaka Hanafi secara khususnya dan juga mempamerkan keunikan seni, warisan dan budaya bangsa Malaysia secara amnya. 

"Di samping itu, penyertaan kali ini bertujuan mengangkat martabat seni silat Melayu yang juga sebuah warisan negara di pentas antarabangsa," kata Md Radzi.

1792 dibaca
Berita Harian X