Selasa, 13 Ogos 2019 | 8:41pm
PERSEKUTUAN Ski Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF).

Peluang rebut Anugerah Peluncur Terbaik Asia

 

KUALA LUMPUR: Peluncur ski air dari tujuh negara Asia berpeluang merebut Anugerah Peluncur Terbaik Asia yang julung kali diperkenalkan pada Kejohanan Dunia Ski Air sedang berlangsung sehingga Ahad ini di Pusat Sukan Air Putrajaya.

Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Antarabangsa (IWWF) baru sahaja meluluskan anugerah itu bagi mengiktiraf semangat dan dedikasi peluncur ski air dari Asia sekali gus meningkatkan pembangunan sukan itu di negara ini.

Peluncur ski air dari Asia agak ketinggalan dalam sukan sering dikuasai atlet dari Amerika Syarikat dan juga negara Eropah itu.

"Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF) berbesar hati apabila dapat menarik 143 penyertaan daripada 32 negara pada kali ini.

"Tetapi apa yang lebih penting, kami juga teruja dapat menyaksikan rekod penyertaan 24 peluncur dari Asia bagi bertanding di kejohanan dunia bagi merebut anugerah Asia," kata Pengarah Kejohanan, Hanifah Yoong.

Pada kejohanan dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad petang tadi, tujuh negara Asia menyertainya terdiri daripada China, Indonesia, Korea Selatan, Jepun, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Peluncur ski air negara, Aaliyah Yoong dilihat mampu mara ke kelompok 12 terbaik ke final sekali gus mencerahkan peluang memenangi anugerah baru diperkenalkan itu memandangkan beliau berada di ranking ke-12 dunia IWWF dalam acara tricks.

Namun atlet yang baru berumur 16 tahun itu bakal berdepan bekas jaguh dunia seperti Neilly Ross dari Kanada dan juga Anna Gay (Amerika Syarikat).

Pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur itu perlu memperoleh kira-kira 8,200 mata untuk berada di kedudukan selesa di final sedangkan pencapaian peribadi terbaiknya setakat ini adalah 7,600 mata.

Anugerah bagi peluncur terbaik Asia itu akan menyaksikan tiga peluncur terbaik Asia dipilih daripada setiap empat disiplin - slalom, tricks, lompatan dan keseluruhan bagi kategori lelaki dan wanita.

 

 

Berita Harian X