Selasa, 13 Ogos 2019 | 7:15pm
SIDANG media Team Malaysia, sukan hoki dewan ke Sukan SEA 2019, Filipina (dari kiri) Ketua Pasukan hoki dewan wanita, Ellya Syahirah Ellias, Jurulatih wanita, Yahya Atan, Jurulatih lelaki, Megat Azrafiq Megat Termizi dan Ketua Pasukan hoki dewan lelaki, Mohd Hanip Che Halim di MSN Bukit Jalil. NSTP/Owee Ah Chun.

Anak buah Oltmans perkuat hoki dalam dewan

KUALA LUMPUR: Khidmat tiga atau empat pemain senior hoki padang negara kembali ditagih skuad hoki dalam dewan lelaki dalam mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Filipina 2019.

Menurut penolong jurulatih skuad hoki dalam dewan lelaki, Megat Azrafiq Termizi, persetujuan sudah dicapai antaranya dengan ketua jurulatih Malaysian Tigers, Roelant Oltmans untuk melepaskan pemain tidak terpilih ke kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 Oktober nanti.

"Kita mengharapkan dengan kehadiran pemain hoki padang pada Oktober nanti mampu memberi cabaran kepada 12 pemain sedia ada.

"Namun, buat masa ini kita belum pasti lagi siapa tiga atau empat pemain itu kerana ia bergantung kepada senarai tidak dibawa ke kelayakan akhir Sukan Olimpik," katanya.

Megat Azrafiq dikatakan akan memberi keutamaan kepada barisan pemenang emas hoki dalam dewan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang sedang mengikuti kem latihan hoki padang negara.

Antara pemain berkenaan adalah Najib Abu Hassan, Norsyafiq Sumantri, Syed Syafiq Syed Cholan, Amirol Aideed, Ashran Hamsani dan Najmi Farizal Jazlan.

Bagi Yahya Atan iaitu ketua jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita negara, dia enggan ambil pusing selepas usahanya mendapatkan khidmat beberapa tonggak hoki padang menemui jalan buntu.

Sebaliknya, dia memilih untuk terus menyenaraikan tiga pemain yang bakal beraksi dalam liga utama hoki Eropah sebagai senarai simpanannya.

"Daripada lima pemain yang saya pohon hanya Shafiqah Mohd Zain dan Syafiqa Mat Isa melapor diri manakala Hanis Nadiah (Onn), Raja Norsharina dan Fatin Shafika Mahd Sukri nama mereka tetap disenaraikan kerana terlebih dulu akan ke Eropah," katanya.

Sebagai rekod, pasukan hoki dalam dewan lelaki memenangi emas pada temasya Sukan SEA lalu ketika skuad wanita sekadar berpuas hati dengan gangsa.

 

 

Berita Harian X