Isnin, 12 Ogos 2019 | 9:14pm
Atlet luncur air negara Adam Yoong Hanifah (kiri), Aiden Yoong Hanifah (dua dari kiri), Aaliyah Yoong Hanifah (dua dari kanan) dan Nadiah Nasir (kanan) pada sidang media Kejohanan Dunia Ski Air IWWF 2019 di Kompleks Sukan Air Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

Skuad ski air idam kategori Asia

PUTRAJAYA: Turun selaku pasukan termuda, skuad ski air negara sekadar meletakkan harapan untuk mendahului pasukan Asia yang lain pada Kejohanan Dunia Ski Air IWWF 2019 bermula esok di Kompleks Sukan Air Putrajaya. 

Menduduki ranking dunia acara tricks kategori bawah 17 tahun, Aaliyah Yoong yang juga pemenang tiga pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur menjadi sandaran utama pasukan negara yang turut disertai Aiden Yoong, Adam Yoong dan Nadiah Nasir. 

"Nadiah berumur 22, Aaliyah 16, Aiden 13 dan Adam 11 tahun, jadi kombinasi purata umur pasukan kita menjadikan kita pasukan termuda daripada keseluruhan 32 pasukan turut serta. 

"Jika kita dapat menjuarai kategori Asia, ia adalah pencapaian terbesar kerana kita tidak pernah memperoleh pencapaian lebih daripada tempat keempat keseluruhan Asia," kata ketua jurulatih pasukan negara, Hanifah Yoong selepas sidang media, di sini, hari ini. 

Hanifah yang juga pengarah kejohanan berkata, sasaran diletakkan buat Aaliyah adalah untuk menduduki kelompok 12 terbaik dalam pusingan kelayakan sekali gus melangkah  ke final terutama dalam acara kegemarannya, tricks. 

"Sebelum ini pencapaian terbaik Aaliyah adalah tempat ke-16, diharapkan dengan sedikit tuah dia dapat menyerlah, maka dia dapat mara ke final. Mara ke final juga adalah pencapaian terbesar buat atlet ski air negara," katanya. 

Terdahulu, Aaliyah berkata persiapan skuad negara adalah baik ditambah dengan kehadiran jurulatih dari Perancis, Marian Malaquin yang banyak melahirkan jaguh dunia sebelum ini.

"Saya rasa semua sudah bersedia sekarang dan saya berada dalam keadaan bagus terutama selepas menghadapi tiga kejohanan menjelang Kejohanan Dunia kali ini," katanya yang memperoleh dua pingat perak pada Kejohanan Moomba Remaja di Melbourne, Australia Mac lalu. 

Buat julung kalinya, Malaysia bakal menganjurkan Kejohanan Dunia Ski Air IWWF 2019 yang menyaksikan penyertaan 144 peserta daripada 32 negara bagi merebut gelaran juara dunia bermula esok sehingga Ahad ini di Putrajaya.

Berita Harian X