Isnin, 12 Ogos 2019 | 7:54pm
Pemain boling negara, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi. - NSTP/Owee Ah Chun

Perlu biasakan diri tanpa Shalin

 

KUALA LUMPUR: Ketiadaan pemain boling berpengalaman negara, Shalin Zulkifli bersama skuad wanita negara ke Kejohanan Dunia di Las Vegas 22 hingga 30 Ogos ini sedikit sebanyak mengubah suasana dalam pasukan.

Syaidatul Afifah Badrul Hamidi berkata, Shalin yang juga pemain senior sering kali memainkan peranan penting dalam pasukan namun ketiadaan pemain itu perlu dibiasakan.

"Apabila Shalin tiada dalam pasukan, saya rasa sedikit kelainan kerana selalunya kami mempunyai ketua dan Shalin juga yang selalu menaikkan semangat buat rakan sepasukan.

"Jadi rasa ada sedikit kekurangan ... rasa tiada 'mama' tapi kami boleh atasi perkara berkenaan.  Nerosha (Nerosha Keligit) juga mempunyai kelebihan tersendiri," kata Syaidatul Afifah kepada BH Sukan, hari ini.

Ketika ini latihan lebih terarah terhadap acara berpasukan.

Syaidatul Afifah adalah antara pemain negara yang memenangi pingat emas pada Kejohanan Boling Dunia di Las Vegas pada 2017 selepas menewaskan Singapura di saingan final dengan keputusan 214-209, 188-177. 

Selain Syaidatul Afifah, Malaysia ketika itu turut diwakili Shalin, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane dan Natasha Roslan.

"Untuk kejohanan tahun ini, saya memang berhasrat untuk mempertahankan pingat emas berpasukan dimenangi Malaysia pada 2017. Bukan senang nak pertahankan kejuaraan, tapi kami akan berusaha.

"Saya juga ingin memberi tumpuan terhadap acara individu dan harap mampu memenangi pingat emas," kata Syaidatul Afifah yang mengakui penganjuran kejohanan dunia di tempat sama memberikan kelebihan buatnya.

Kejohanan Dunia di Las Vegas 2019 adalah penampilan ketiga buat atlet berusia 28 tahun berkenaan. 

Kali pertama atlet dari Perak itu beraksi adalah pada Disember 2015 ketika berlangsung di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.

1892 dibaca
Berita Harian X