Isnin, 12 Ogos 2019 | 7:13pm
ATLET terjun negara, Chew Yiwei di MSN Bukit Jalil. NSTP/Owee Ah Chun.

Yiwei yakin layak ke Olimpik Tokyo

 

KUALA LUMPUR: Sepanjang 13 tahun aktif dalam sukan terjun, Chew Yiwei optimis akan menjejakkan kaki ke Sukan Olimpik tahun depan di Jepun.

"Percubaan saya bermula dari Sukan Olimpik 2008 di Beijing lagi sebelum 2012 di London kemudian 2016 di Rio, namun semuanya gagal. Pada kali ini saya rasakan peluang saya lebih besar untuk layak ke Tokyo," katanya.

Penerjun berumur 24 tahun itu berkata, beliau berada dalam prestasi terbaik bagi memperoleh tiket ke Olimpik dengan dua peluang lagi untuk menyerlah pada Piala Terjun Asia 2019 di Kuala Lumpur 6-8 September ini dan Piala Dunia FINA 2020 di Tokyo tahun depan.

"Sepanjang 13 tahun saya berlatih, saya dapat rasakan inilah ketikanya saya berada di tahap kecergasan terbaik dan juga bersedia daripada segi mental," katanya.

Biarpun hanya juara dalam setiap acara akan diberikan tiket ke Olimpik pada Piala Asia nanti yang akan disertai penerjun hebat seperti China dan Jepun, Yiwei berkata tiada yang mustahil selagi terus bekerja keras.

"Piala Asia ini seperti pertandingan Sukan Asia tahun lalu. Piala Dunia pula nanti akan ada sehingga 18 slot disediakan dan banyak lagi peluang. Tetapi saya tidak mahu terlalu fikirkan mengenainya dan berdepan dengan setiap kejohanan satu demi satu.

"Pada Sukan SEA nanti juga adalah peluang yang bagus untuk saya membina keyakinan dengan set baru terjunan apabila saya kini sudah meningkatkan darjah kesukaran," katanya yang memenangi pingat gangsa Sukan Asia di Indonesia tahun lalu dalam acara 3 meter papan anjal lelaki individu.

 

 

Berita Harian X