Rabu, 7 Ogos 2019 | 10:09pm
Presiden MAD, Datuk Radhakrishnan (empat dari kanan) memberikan cenderahati kepada naib presiden Persekutuan Dodgeball Iran, Reza Khoshsorour dalam AGM mereka, baru-baru ini.

Dodgeball pertonton aksi di SUKMA 2020

KUALA LUMPUR: Dodgeball bakal menjadi sukan demonstrasi di Sukan Malaysia (SUKMA) di Johor, tahun depan. 

Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD) Datuk Radhakrishnan berkata, mereka ketika ini sedang dalam proses menunggu kebenaran daripada sekretariat SUKMA 2020 untuk memasukkan acara berkenaan. 

Sekiranya berjaya, sukan berkenaan tentunya berpeluang untuk dipertandingkan secara rasmi pada edisi seterusnya pada tahun 2022. 

"Bagi mencapai hasrat berkenaan, kita cuba untuk menjadikan sukan ini popular di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi," kata Radhakrishnan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, baru-baru ini. 

Radhakrishnan yang diberi mandat untuk sekali lagi mengepalai MAD berkata, sukan itu juga bakal dipertandingkan dalam sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), tahun depan. 

"Selain menjadikan dodgeball sebagai sukan demonstrasi di SUKMA 2020, kita juga bercadang akan memperkenalkannya di Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM). 

"Jadi sekolah dan IPT adalah program jangka panjang kami bagi memperkukuhkan sukan ini di Malaysia,” katanya. 

Radhakrishnan turut mengumumkan yang Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Kejohanan Dodgeball Asian Pasifik, April tahun depan.

Berita Harian X