Khamis, 1 Ogos 2019 | 9:41pm
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (tengah) pada sidang media di Wisma MOM. - NSTP/Owee Ah Chun

Persatuan jangan bebankan atlet - Norza

KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menegaskan persatuan sukan perlu bertanggungjawab terhadap atlet di bawah naungan mereka jika mahu menyertai Sukan SEA 2019 di Filipina yang dijadual pada 30 November hingga 11 Disember ini.

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengingatkan tugas untuk mencari dana bagi menghantar atlet ke temasya berkenaan adalah tanggungjawab setiap persatuan.

“Saya tidak mahu atlet di bawah kategori B ini dibebankan dengan mencari dana sendiri daripada pihak luar. Atlet adalah tanggungjawab sepenuhnya persatuan masing-masing,” kata Norza pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan ke Sukan SEA 2019, hari ini.

Mengulas lanjut, Norza berkata atlet yang diletakkan dalam kategori B2 iaitu persatuan yang bukan di bawah MOM, dana perlu dicari sendiri malah MOM tidak akan menanggung sebarang perbelanjaan atau memulangkan semula wang kepada mereka biarpun berjaya menaiki podium.

Terdapat beberapa jenis sukan termasuklah sukan baharu yang tidak bernaung di bawah MOM, antaranya adalah kick boxing, jiu jitsu, soft tennis, sukan elektronik (e-sports), luncur air, hoki air, triathlon dan sukan tempuh halangan (obstacle course).

Dalam perkembangan sama, Norza memaklumkan seramai 681 atlet dipilih bagi menyertai kontinjen negara ke Filipina dengan 394 daripadanya adalah atlet lelaki manakala 287 lagi adalah wanita yang dipecahkan dalam kategori A dan B.

Jelasnya, daripada 394 atlet lelaki, 193 berada dalam kategori A manakala 201 (kategori B) dan 147 atlet wanita pula disenaraikan mengisi kategori A, serta  selebihnya iaitu 140 lagi berada kategori B.

“Dalam mesyuarat yang dijalankan, kita juga menyatakan proses menghantar nama-nama atlet harus dilakukan sebelum 15 Ogos 2019,” kata Norza yang turut memaklumkan terdapat beberapa jenis sukan yang meminta lanjutan tarikh penyerahan nama atlet yang terdiri daripada sukan olahraga, menembak serta bola sepak wanita.

“Disebabkan Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) digantung oleh Persekutuan Petanque Antarabangsa (FIPJP), proses pemilihan khas akan dikendalikan di bawah MOM. 

Persatuan Polo Diraja Malaysia (RMPA) tidak akan menyertai Sukan SEA dan kami akan meminta mereka mengemukakan hitam putih mengenai keputusan berkenaan,” kata Norza.

Mengulas mengenai sasaran keseluruhan kontinjen negara, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail menjelaskan kebiasaannya ia diumumkan ketika majlis Penyerahan Jalur Gemilang yang akan berlangsung nanti.

Berita Harian X