Selasa, 30 Julai 2019 | 7:55am
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong (dua, kiri) beramah mesra selepas menyerahkan sumbangan daripada YAKEB kepada bekas atlet pada Sesi Lawatan ke YAKEB, semalam. Turut serta Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (tiga, kiri). - Foto BERNAMA

Selangor, Perak serius bantu YAKEB

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor membuktikan keprihatinannya apabila bercadang menyerahkan sebidang tanah di Bukit Cerakah untuk dijadikan kem motivasi bagi membantu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menjana pendapatan.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, berdasarkan perancangan asalnya tanah itu akan diusahakan YAKEB dengan kerjasama bekas atlet.

“Kita cadang buat kem motivasi seperti konsep Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Kita akan cuba tengok dulu macam mana keadaan tanah itu.

“Kita harap ia dapat menjadi satu sumber dana yang boleh dimanfaatkan YAKEB,” katanya selepas Lawatan Kerja Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim ke pejabat YAKEB di Kompleks Sukan Bukit Kiara, semalam.

Selain Selangor, Noorul berkata, kerajaan Perak juga berhasrat membantu YAKEB dalam bentuk pemberian dana dengan kerajaan negeri itu juga sudah menubuhkan jabatan yang dikhususkan menjaga kebajikan bekas atlet Perak.

Katanya, pihaknya juga akan mengeluarkan kepingan emas seberat 0.5 gram dengan memaparkan tiga bekas ikon sukan negara - bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor, bekas ratu pecut negara, Datuk M Rajamani dan bekas jaguh berbasikal negara, Datuk Ng Joo Ngan.

“Kita bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta yang menanggung semua kos pembuatan kepingan emas itu. Kita hanya berkongsi keuntungan dan tidak mengeluarkan sesen pun dana.

“Kepingan emas ini bakal dilancarkan sempena Hari Sukan Negara oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Oktober ini,” katanya.

Sementara itu, Steven berkata beliau berpuas hati dengan perancangan yang dilakukan lembaga pengarah YAKEB dalam membantu ahli mereka.

Berita Harian X