Khamis, 25 Julai 2019 | 4:22pm
Dhaarma Raj (kiri) bersama skuad hoki wanita negara ketika sesi latihan di Stadium Hoki, Bukit Jalil, Mei lalu. - Arkib NSTP

Pasukan utama Eropah 'borong' pemain negara

KUALA LUMPUR: Penamat ketiga di Pusingan Akhir Siri FIH di Ireland Utara bulan lalu memberi impak positif apabila lebih separuh barisan pemain hoki wanita negara mendapat tawaran ke luar negara.

Sehingga kini 12 pemain sudah 'dipancing' beberapa pasukan utama Eropah antaranya East Grinstead (England), Wespen Zehlendorfer serta Bremer HC (Jerman) dan Butterfly Roma serta HC Argentin (Itali).

Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Dhaarma Raj Abdullah mengesahkan pihaknya sudah menerima tawaran, namun kini hanya menunggu lampu hijau daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

"Sembilan daripada 12 pemain negara sudah menerima surat tawaran dengan baki tiga pemain yang akan menyertai Bremer Hockey belum dapat surat tawaran kerana baru semalam kita mencapai persetujuan secara perbualan.

"Selepas ini hanya tinggal untuk pemain ini mendapat surat Non-Objection Certificate (NOC) ataupun Sijil Tiada Bantahan dari MHC saja," katanya.

Kesemua urusan pengesahan itu perlu diselesaikan sebelum 31 Julai ini iaitu menjadi hari terakhir pendaftaran pemain yang beraksi di liga utama Eropah.

Dalam senarai berkenaan menyaksikan Wespen yang beraksi dalam saingan utama Bundesliga kembali menagih khidmat penyerang Hanis Nadiah Onn dan Wan Norfaiezah Saiuti sambil turut menyambar pertahanan Raja Norsharina Raja Shabuddin.

Penjaga gol, Farah Ayuni Yahya kali ini pula akan ditemani pakar flick Nuraini Rashid beraksi buat East Grinstead manakala Maizatulhanim Syafi dan Nuramirah Syakirah Zulkifli serta Juliani Mohd Din mewakili Bremer HC.

Norazlin Sumantri serta Mas Huzaimah (penjaga gol) disambar HC Argentin dengan Fatin Shafika dan Nuraslinda Said (Butterfly Roma) melengkapkan senarai terbabit.

Berita Harian X